SHAH ALAM - Minat mendalam terhadap seni lukis telah menobatkan Hana Arissa Mohd Azril, 11, sebagai pemenang tempat pertama dalam Pertandingan Mewarna Kids Karangkraf yang diadakan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024.
Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam itu berkata, minat terhadap seni tersebut menyebabkan dirinya sering menyertai pertandingan dianjurkan.
"Saya selalu masuk pertandingan mewarna di sekolah dan tempat lain. Selain mewarna, saya juga suka melukis karakter kartun yang diminati,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Ahad.
Menurutnya, minat terhadap seni tersebut menyebabkan dia pernah memenangi pertandingan mewarna sebanyak empat kali berturut-turut.
Sementara itu ibunya, Siti Alywiah Jumiran, 41, berkata, bakat melukis dan mewarna dimiliki anaknya itu dikesan ketika berusia lapan tahun.
"Kami ada hantar Hana Arissa masuk program untuk asah bakat selain inisiatifnya sendiri belajar melalui YouTube.
"Gajetnya penuh dengan lakaran lukisan sendiri. Saya sebagai ibu tidak menghalang sebaliknya menyokong,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Nurul Shahirah Jasman berkata, pertandingan itu merupakan tradisi wajib yang dianjurkan pada setiap tahun untuk kanak-kanak sempena Jualan Gudang Karangkraf.
"Kami mahu menghiburkan kanak-kanak dan mendedahkan mereka kepada buku ilmiah terbitan Karangkraf.
"Peserta yang hadir akan menerima buku terbitan Kids Karangkraf. Ini adalah untuk menarik minat membaca sekali gus mendedahkan mereka kepada bahan bacaan kami,” jelasnya.
Selain itu, pihaknya turut menyediakan aktiviti menghias penanda buku, kuiz keajaiban dunia, pertandingan menulis jawi, hafazan dan pakaian beragam cerita rakyat.
"Aktiviti ini bermula dari 30 September hingga 3 Oktober ini. Ia melibatkan kerjasama yang baik antara Grup Buku Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” katanya.
Jualan Gudang Karangkraf 2024 berlangsung dari 27 September hingga 6 Oktober, bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor.