MAIZATUL Shahida Jalil, 40, berjaya membuktikan wanita juga mampu berjaya dalam bidang pemasangan dan pembaikan pendingin hawa, bidang yang biasanya didominasi oleh golongan lelaki.
Beliau yang kini memiliki perniagaan dikenali sebagai Kak Aircond Empire berkata, dia bermula tanpa sebarang modal kira-kira lapan tahun lalu dengan menjadi tukang servis alat pendingin hawa dari rumah ke rumah di sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar.
"Lebih memeritkan ketika itu saya berpisah dengan bekas suami, tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa membesarkan empat anak yang masih kecil sendirian.
"Anak bongsu, Muhammad Anas Miqhael pula memerlukan perbelanjaan yang banyak kerana mempunyai masalah kesihatan iaitu tiada saluran pemakanan mahupun saluran najis,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di Taman Tengku Maheran di sini baru-baru ini.
Keadaan itu menyebabkan Maizatul Shahida jadi buntu dan amat tertekan dengan nasib menimpa dirinya, namun dia tekad untuk bangkit semula demi anak-anak.
Kongsinya lagi, dia pernah mempunyai hanya RM2 dalam tangan yang digunakan membeli kerak nasi untuk dinikmati anak-anaknya ketika dia mula bertatih dalam dunia perkhidmatan pendingin hawa.
"Saya sanggup bekerja selama 22 jam dan rehat dua jam sahaja sehari untuk melakukan pelbagai kerja daripada mengedar risalah sehinggalah melakukan servis pendingin hawa,” katanya.
CABARAN
Menurut Maizatul Shahida, dia turut berdepan cabaran dalam dunia pekerjaannya itu dengan statusnya sebagai seorang wanita dan ibu tunggal kerana masih ada tidak percaya dengan kemampuan dirinya.
"Namun, saya tak putus asa, sebaliknya berusaha membuktikan kebolehan diri dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap pelanggan.
"Nak dapatkan kepercayaan orang itu payah disebabkan saya wanita. Ada orang meragui dan tertanya-tanya mampukah bekerja.
"Tetapi saya buktikan wanita juga mampu buat kerja seperti lelaki, malah lebih teliti sama seperti tagline Kak Aircond Empire iaitu ‘tak sejuk, tak balik’,” katanya.
Jelas wanita itu lagi, dia juga sentiasa turun padang untuk melihat kerja anak-anak buahnya di lapangan bagi memastikan servis diberikan adalah yang terbaik.
Lebih membanggakan, beliau merupakan satu-satunya wanita dalam syarikat berkenaan yang mempunyai lapan pekerja lelaki setakat ini.
"Saya bersyukur kerana berjaya membina empayar perniagaan sendiri, berkat usaha yang tidak putus asa dan bangkit semula menempuhi cabaran kehidupan.
"Ibu, Che Endon Saad, 75, dan empat anak yang kini berusia antara 14 hingga 18 tahun yang menjadi sumber kekuatan saya untuk berjaya hingga ke tahap sekarang,” katanya.
TEMPAHAN
Maizatul Shahida berkata, syarikat yang diusahakan sejak 2016 itu kini bukan sahaja menerima tempahan untuk rumah, malah masjid sehinggalah syarikat swasta dan pejabat kerajaan.
Menurutnya, selain mengusahakan perkhidmatan pendingin hawa, dia juga kini sering diundang sebagai pegawai penilai di institusi kemahiran.
"Saya memang berhasrat mahu membantu golongan belia di Kedah dengan membina akademi latihan kemahiran berkaitan pendingin hawa menerusi Pusat Akademi Skill Latihan Kak Aircond (KAASTC),” katanya.
Ditanya mengenai impian masa depannya, Maizatul Shahida berkata, dia mahu mengembangkan empayar perniagaannya dan berkongsi ilmu pengetahuan serta kemahiran dimiliki dengan orang ramai.
"Nasihat saya kepada golongan ibu tunggal yang berdepan nasib sama seperti saya, jangan putus asa dan segera bangkit semula.
"Nak bersedih boleh tetapi jangan terlalu lama dan jika bekerja haruslah ikhlas, insya-ALLAH akan berjaya,” katanya.
Saya buktikan wanita juga mampu buat kerja seperti lelaki, malah lebih teliti sama seperti tagline Kak Aircond Empire iaitu 'tak sejuk, tak balik'.”