Kluang perlukan sentuhan ajaib

Iklan
Calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah meraikan kemenangan dengan bergambar bersama ahli keluarga selepas kemenangan BN pada PRK Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail. Foto Bernama

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telah pun melabuhkan tirainya yang menyaksikan seorang lagi pemimpin muda, iaitu Syed Hussien Syed Abdullah diangkat sebagai wakil rakyat dengan kemenangan bergaya lebih 20,000 majoriti.

Maka selesai jugalah tanggungjawab penulis yang turut berkampung sepanjang dua minggu berlangsungnya PRK itu bermula penamaan calon pada 14 September lalu.

Iklan
Iklan

Dalam tempoh 17 hari berada di DUN Mahkota, yang terletak bawah Parlimen Kluang itu, penulis bertanggungjawab melaporkan perkembangan kempen kedua-dua calon, iaitu Syed Hussien, mewakili Barisan Nasional (BN) dan Mohamad Haizan Jaafar mewakili Perikatan Nasional (PN), termasuk isu-isu semasa yang berkaitan.

Sudah tentunya PRK Mahkota tidak berakhir begitu sahaja. Pascanya pula mengambil tempat untuk dijadikan berita.

Iklan

Namun begitu, penulis tidak berhasrat untuk menganalisis sebarang faktor kemenangan mahupun kekalahan yang direkodkan setelah separuh purnama menghadamkan segala cerita pilihan raya, siang dan malam.

Biarlah yang pakar memberi buah fikirannya, reaksi pemimpin-pemimpin parti dan negara mewarnai dada akhbar.

Iklan

Tetapi, suka untuk penulis kongsikan mengenai sisi DUN Mahkota, atau lebih utama, kawasan Kluang itu sendiri yang terletak di tengah-tengah negeri Johor yang dianggap tiada daya tarikan yang boleh menggalakkan kedatangan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Perkara itu diakui sendiri oleh selebriti terkenal yang juga anak jati DUN Mahkota, Shahrol Azizie Azmie atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, ketika ditemui penulis.

"Daerah ini berada di tengah-tengah. Kita tidak ada lautan yang cantik, tidak ada air terjun tujuh tingkat untuk tarik orang datang.

"Jadi kita sendiri perlu ketengahkan tempat-tempat cantik di sini dan raikannya dengan merancakkan lagi usahawan-usahawan setempat dan infrastruktur untuk anak muda, juga dalam sektor pelancongan daerah Kluang itu sendiri,” katanya.

Penulis juga senada dengan apa yang diutarakan pelawak terkenal itu kerana di sebalik 'tiada apa yang menarik', pada pandangan penulis, Kluang sebenarnya sangat berpotensi untuk dihidupkan sebagai lokasi pelancongan terkenal sekiranya diberi 'nyawa'.

Populariti Kluang yang terkenal dengan kopi nampaknya kelihatan tidak begitu menyerlahkan persona bandar itu.

Benar, tidak semua orang sukakan kopi. Tapi semua orang sukakan makanan.

Lihat sahaja Bandar Raya Ipoh yang kini sangat meriah dengan kunjungan pelancong tempat dan antarabangsa.

Bahkan ada yang sanggup 'pergi balik hari' semata-mata untuk ke Ipoh bagi menikmati suasana dan makanan-makanan tular yang ada di sana, termasuk mengunjungi tempat-tempat yang dekat dengan alam semula jadi.

Bagi penulis, Kluang tidak kurang hebatnya. Banyak elemen yang mampu diangkat sebagai daya tarikan demi menjadikan Kluang 'sempurna' di mata orang luar.

Stesen kereta api lama, deretan bangunan-bangunan kolonial, dan ‘vibes’ alam semula jadinya masih terletak dalam lingkungan berhampiran dengan pusat bandar.

Tahukah anda, ketika Kluang dipandang sebelah mata, rupanya sudah ramai pelancong asing yang datang ke daerah ini semata-mata untuk mendaki Gunung Lambak yang hanya terletak kira-kira 12 kilometer dari Pusat Bandar.

Bahkan, ia turut menjadi tumpuan warga dari luar Kluang setiap kali hujung minggu sebagai lokasi riadah yang sesuai untuk seisi keluarga.

Namun, aktiviti yang begitu terhad membuatkan mereka tidak menghabiskan masa yang lama di Kluang selain mencari restoran atau warung untuk mengisi perut.

Penulis percaya, Kluang memerlukan sentuhan ajaib untuk menonjol.

Sekiranya ia dapat dilaksanakan, ekonomi setempat akan menjadi lebih rancak. Peluang pekerjaan untuk anak muda tempatan juga akan semakin bertambah.

Ini selari dengan suara anak muda yang penulis temui, dahagakan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik di tanah kelahiran sendiri.

Mengapa perlu menyeberangi tambak Johor jika Kluang sendiri sudah masyhur?

Mungkinkah jiwa muda wakil rakyat yang baharu diberi mandat di DUN Mahkota pada PRK lalu mampu realisasikannya?

*Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian Nasional