TASEK GELUGOR - Hasrat remaja yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) akhirnya tercapai apabila diterima masuk ke universiti itu pada Oktober ini.
Kegembiraan Syaidinatul Firzanah Zul Hisham, 19 berganda apabila dia dipilih sebagai salah seorang penerima Program Pembangunan Siswa SULUNG 3.0.
Syaidinatul Firzanah Zul Hisham, 19 merupakan seorang anak yatim dan anak kedua daripada tiga orang adik beradik.
Ibunya, Roslina Lazim, 51 tidak bekerja dan keluarga itu hanya bergantung kepada pencen penakat arwah bapanya berjumlah RM1,100.
Menurut Syaidinatul, bapanya telah meninggal dunia sejak 15 tahun lalu dan sejak daripada itu, mereka sekeluarga pulang ke Pulau Pinang dengan menumpang di rumah neneknya.
"Kakak, Syaidinatul Aishah bekerja sambilan dengan kadar gaji RM40 sehari namun adik masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti di tingkatan 3.
"Sebelum ini kami sekeluarga tinggal di Ipoh tetapi setelah arwah ayah meninggal, kami berpindah ke sini dan tinggal bersama nenek. Namun, nenek telah meninggal dunia pada tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di sini pada Ahad.
Menurutnya, dia menerima surat tawaran untuk sambung belajar dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Dalam Kimia Dengan Kepujian pada pertengahan bulan ini.
"Saya amat gembira apabila menerima tawaran daripada USM kerana saya memang mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di sana. USM memang pilihan utama saya.
"Saya bersyukur kerana saya antara yang dipilih dalam Program Pembangunan Siswa SULUNG ini berikutan keluarga saya tidak berkemampuan untuk menanggung kos pembelajaran saya nanti," katanya.
Kata bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang itu, dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarganya.
"Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh, demi harapan keluarga terutamanya ibu.
"Dengan bantuan yang saya terima ini, ia merupakan peniup semangat untuk saya lebih fokus kepada pembelajaran demi mengejar cita-cita sebagai guru," tambahnya.
Sementara itu, Roslina berkata, tiada apa yang mampu diungkapkan melainkan memanjat kesyukuran dengan kejayaan anaknya itu.
"Tiada apa yang saya harapkan melainkan kejayaan untuk anak saya ini. Saya berharap agar dia tidak mensia-siakan peluang ini kerana dia memang bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke USM.
"Terima kasih tidak terhingga kepada USM kerana memilih anak saya dalam program ini. Saya gembira dan bersyukur kerana dengan bantuan ini, saya tidak risau lagi dengan kos pembelajarannya," katanya.
Sebelum itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed telah menyampaikan bantuan keperluan serta wang tunai RM500 kepada Syaidinatul.
Abdul Rahman berkata, Program Siswa SULUNG menyasarkan generasi pertama dalam keluarga B40 yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti dalam peringkat ljazah Sarjana Muda.
Menurutnya, pelajar kategori Siswa SULUNG perlu menghadiri Kem Pembangunan Siswa SULUNG.
"Satu modul Pembangunan Siswa SULUNG telah dibangunkan dan fokus utama program itu adalah membina pembangunan insaniah pelajar, memberi sokongan akademik yang holistik dan bimbingan kaunseling.
"Di USM, fokus utama kita adalah melahirkan produk yang kompeten dalam akademik, berkemahiran insaniah, mempunyai minda kelas pertama yang holistik, memenuhi permintaan industri, berketrampilan, mampu berfikir secara kreatif dan inovatif.
"Ini bagi memastikan mereka ini mampu mengubah nasib keluarga, menyumbang kepada komuniti, universiti dan negara," katanya.
Tambah beliau, seramai 1,000 pelajar telah dikenal pasti dan diluluskan untuk menerima bantuan menerusi Program Siswa SULUNG.
"Tahun ini adalah tahun kedua program ini diadakan yang mana, untuk Program Santuni Siswa Sulung 1.0 seramai 560 pelajar menerima bantuan, untuk kedua, 250 pelajar dan ketiga seramai 200.
"Kita memperuntukkan RM12,000 untuk setiap pelajar selama empat tahun pengajian menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM12 juta," katanya.
Ujarnya lagi, program itu diwujudkan bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan yang baik tanpa bimbang tentang kekangan kewangan.
"Pada masa yang sama, USM juga akan menyalurkan bantuan lain menggunakan Tabung Kebajikan Pelajar, Tabung Zakat USM dan sebagainya.
"Jika ada mana-mana pelajar yang berada dalam kesusahan dan kebuntuan untuk mencari sumber kewangan bagi menyambung pengajian ke USM, mereka diminta supaya segera menghubungi Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM bagi membolehkan bantuan awal disalurkan," katanya.