Peranan masyarakat antarabangsa, PBB hentikan kekejaman Israel

Iklan
Kemusnahan di bandar Tayr Dibba di selatan Lubnan. Foto AFP

KEGANASAN Israel ke atas Lubnan semakin memuncak susulan media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh manakala 195 lagi cedera dalam satu serangan udara rejim zionis ke atas negara berkenaan.

Menurut laporan Agensi Anadolu yang memetik Kementerian Kesihatan Lubnan, pesawat perang Israel meneruskan serangan udara di pinggir selatan Beirut, menyasarkan kawasan Chyah, Borj al-Barajneh dan sebahagian Lylaki, serta beberapa bandar di selatan negara itu.

Iklan
Iklan

Menurut Menteri Kesihatan Firas Alabiad pada sidang media pada Ahad, serangan antara Hizbullah dan Israel yang bermula sejak Oktober lepas mengorbankan 1,640 orang termasuk 104 kanak-kanak dan 194 wanita, serta mencederakan 8,408 yang lain.

Hizbullah dan Israel telah terlibat dalam serangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan hampir 41,600 mangsa.

Iklan

Angka kematian membabitkan komuniti penduduk di Selatan Lubnan berkemungkinan akan meningkat memandangkan konfrontasi antara Israel dan Iran dilihat semakin tidak terkawal.

Melihat situasi di Lubnan, sudah tentu timbul tanda tanya adakah pilihan gencatan senjata masih boleh dijadikan sebagai alternatif dalam meredakan ketegangan konflik tersebut.

Iklan

Namun jika dilihat beberapa laporan media mengenai insiden ke atas Lubnan termasuk serangan udara Israel menggegarkan Beirut pada Jumaat, menunjukkan isyarat jelas bahawa Israel tidak mempertimbangkan pilihan ke arah pendamaian.

Lebih mengejutkan lagi Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dilaporkan turut terkorban dalam serangan udara rejim zionis tersebut.

Insiden itu juga turut mendapat perhatian negara apabila Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kekesalan yang mendalam terhadap tindakan biadab Israel dengan menyifatkan negara Yahudi itu sebagai angkuh dan tidak menghormati keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau ketika ditemui media selepas menyampaikan kenyataan negara di Perhimpunan Agung PBB ke-79, mengecam keras tindakan Israel yang disifatkan sebagai tidak peduli terhadap pandangan atau keputusan masyarakat antarabangsa.

Perbuatan Israel terang-terangan melampaui batas malah tidak menunjukkan rasa hormat kepada negara lain.

Justeru, kezaliman rejim Zionis perlu disusuli dengan tindakan lebih tegas termasuk menghalau negara Yahudi itu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pakar undang-undang dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow pada Jumaat berkata, langkah penyingkiran itu selaras dengan peruntukkan peraturan yang terdapat dalam Piagam PBB.

Ujar beliau, Perkara 6 Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor majlis keselamatan.

Sudah sampai masa untuk semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa dan PBB memainkan peranan dalam menyatakan ketegasan terhadap keganasan Israel termasuk serangan mereka ke atas Lubnan.

Serangan ke atas Palestin dan Lubnan perlu dihentikan dengan segera sebelum peperangan ini semakin memuncak dan akhirnya menjejaskan negara-negara lain.