Guru tidak mengaku ceroboh pejabat bekas teman lelaki

Iklan
Retha dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River pada Isnin atas pertuduhan menceroboh bilik pejabat bekas teman lelakinya, Mac lalu.

TANJUNG MALIM - Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River pada Isnin atas pertuduhan menceroboh bilik pejabat bekas teman lelakinya, Mac lalu.

Tertuduh, N Retha, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Phulrani Kaur Gurcharon Singh.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, guru penolong kanan kokurikulum di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh itu didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan bilik pejabat milik P Navaneeth, 35, di sebuah klinik di Slim River pada jam 3 petang, 3 Mac 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 berserta syarat tambahan yang mana tertuduh tidak dibenarkan mengganggu pengadu sehingga kes selesai.

Iklan

Tertuduh yang diwakili peguam, N Vilassini memohon ikat jamin pada kadar minimum atas alasan wanita itu yang juga ibu tunggal mempunyai dua tanggungan anak yang masih bersekolah dan menjaga bapa yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Phulrani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu pengadu sehingga kes selesai.

Iklan

Kes disebut semula pada 18 Oktober depan.