KUALA LUMPUR - Rakaman seorang pegawai di Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) fasih bertutur dalam bahasa Mandarin ketika menghubungi waris keluarga warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China tular di laman sosial.
Video berkenaan dimuat naik di Facebook Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat lebih 59,000 tontonan dan menerima tanda suka lebih 2,200 pengguna.
Menerusi status Facebook itu memberitahu, seorang pegawai Nadma sedang berhubung dengan waris keluarga warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan dan beliau mampu bertutur dalam Mandarin dengan baik.
Perkongsian video berdurasi 14 saat itu mencuri perhatian rakyat Malaysia selain memuji kehebatan pegawai wanita Melayu yang mampu bertutur dengan lancar bahasa Mandarin.
Atieq Atirah Fahmi berkata,"Ini menunjukkan kita rakyat Malaysia yang punyai kepelbagaian dalam banyak perkara... selagi ilmu tu baik, selagi tu lah kita kena dahagakan ilmu... abang ipar saya pandai berbahasa Mandarin, Tamil, Inggeris dan sudah tentu berbahasa Melayu... berebut orang nak ambil dia bekerja, banyak kelebihan."
Ujar @Matt pula,"Ini adalah semangat perpaduan yang harus dicontohi oleh semua kaum dan jangan ikut hasutan serta telunjuk sesetengah individu yang menanam kebencian antara kaum."
Semalam Sinar Harian melaporkan pesawat khas yang disewa bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan, China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.57 pagi dan penerbangan AirAsia (AK8264) itu membawa seramai 133 orang yang terdiri daripada 107 penumpang, 20 petugas misi dan enam pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia bawa pulang 107 individu dari Wuhan
Bagi mereka yang dikesan mempunyai simptom akan dibawa terus ke hospital manakala yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke Pusat Pemantauan yang telah ditetapkan untuk tujuan pemantauan bagi tempoh 14 hari.
Nadma pada masa sama berhubung dengan semua waris penumpang untuk memaklumkan urusan penerbangan pulang dan memberi penerangan berkaitan proses kuarantin yang perlu dilalui sepanjang 14 hari.