Generasi ketiga teruskan legasi pembuatan arang Kuala Sepetang

Iklan
Kee Yong giat melakukan kerja-kerja memproses arang kayu bakau di kilang arang di Kuala Sepetang baru-baru ini. Foto Bernama

TAIPING - Menghampiri lokasi yang dituju, kelihatan asap berkepul-kepul ke langit dan hidung pula disapa bau kayu terbakar.

Deruan enjin bot semakin kuat kedengaran, mengesahkan yang penulis tiba di kawasan pengeluaran arang kayu bakau, industri tertua di Kuala Sepetang ini.

Iklan
Iklan

Lebih dikenali kerana mi udang dalam kalangan generasi sekarang, Kuala Sepetang atau dahulunya Port Weld yang terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Taiping, juga merupakan pengeluar arang kayu bakau tertua di negara ini.

Beroperasi sejak 1930, industri di muara sungai yang menghadap Selat Melaka ini tidak banyak berubah. Terdapat 120 syarikat beroperasi dengan sebahagian besarnya adalah milik keluarga dan kini rata-rata diuruskan oleh generasi ketiga.

Iklan
Pekerja kilang arang giat melakukan kerja-kerja memproses arang kayu bakau di kilang arang di Kuala Sepetang baru-baru ini. Foto Bernama

Kilang-kilang terbabit yang lebih kepada bangsal, dengan sebahagiannya berdindingkan papan usang kehitaman berserta kepulan asap yang keluar dari relau - dipanggil dapur atau gok - dan longgokan kayu bakau, memberikan kawasan itu suasana klasik, sepadan usia perusahaan yang hampir 100 tahun.

Legasi

Iklan

Chuah Kee Yong, 53, antara generasi ketiga yang meneruskan legasi keluarga, menyusuli datuk dan bapanya, tersenyum menyambut ketibaan penulis.

Beliau yang mengusahakan My Charcoal Factory berkata, sebelum mengambil alih kilang yang diasaskan oleh datuknya itu, beliau bekerja di sebuah firma berkaitan teknologi maklumat.

"Saya putuskan untuk berhenti kerja dan balik kampung kira-kira 10 tahun lalu selepas bapa dan bapa saudara saya menyatakan hasrat hendak bersara.

Kuala Sepetang atau dahulunya Port Weld yang terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Taiping, juga merupakan pengeluar arang kayu bakau tertua di negara ini. Foto Bernama

"Keputusan itu saya buat kerana tidak ada orang lain lagi yang akan menguruskan kilang ini jika bukan saya,” katanya, membuka cerita kepada Bernama.

Tambahan pula katanya, bidang pembuatan arang kayu bukan sesuatu yang asing buat beliau kerana sudah biasa membantu keluarganya sejak di bangku sekolah lagi.

Bukan mudah

Pada harga kilang RM10 bagi setiap tiga kilogram, pembuatan arang kayu sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah. Selain menggunakan banyak kudrat, kotor dan berbahaya, prosesnya mengambil masa yang lama, iaitu lebih sebulan.

Kilang-kilang terbabit yang lebih kepada bangsal dengan sebahagiannya berdindingkan papan usang kehitaman berserta kepulan asap yang keluar dari relau - dipanggil dapur atau gok - dan longgokan kayu bakau, memberikan kawasan itu suasana klasik, sepadan usia perusahaan yang hampir 100 tahun. Foto Bernama

"Untuk menghasilkan arang kayu berkualiti tinggi, paling penting ialah dapur atau gok. Struktur berbentuk iglu ini diperbuat daripada 26,000 blok bata yang dilekat dengan tanah lumpur. Untuk membina gok, kita tidak boleh gunakan simen, kerana simen mudah retak di bawah tekanan suhu tinggi hingga 250 darjah Celsius,” jelas Kee Yong.

Katanya lagi, struktur dapur juga perlu berbentuk iglu bagi memastikan agihan haba yang sekata dan kayu bakau"dimasak” mengikut suhu yang tepat.

Menurut beliau, kilangnya mempunyai enam dapur dengan setiap satu berkapasiti 1,500 batang kayu bakau.

Pilih kayu

Proses membuat arang bermula dengan pemilihan pokok bakau, sama ada daripada jenis bakau kurap (Rhizophora mucronata) atau bakau minyak (Rhiziphora apiculato) yang berusia sekurang-kurangnya 30 tahun.

Menurut Kee Yong, pengusaha diberikan permit menebang pokok bakau yang ditanam di atas tanah kerajaan seluas 40,000 hektar di sepanjang pantai, dan mereka juga bertanggungjawab menanam semula bagi menggantikan pokok bakau yang ditebang.

"Selepas ditebang, pokok akan dikerat sepanjang dua meter dan diangkut menggunakan bot untuk dihantar ke kilang arang. Kayu kemudian dipunggah dan dikeringkan di bawah cahaya matahari selama dua hingga tiga hari sebelum diangkut ke dapur.

"Batang kayu ini kemudian disusun menegak di dalam dapur. Pada peringkat awal, suhu di dalam dapur arang perlu dinaikkan daripada 85 darjah Celsius kepada 220 hingga 250 darjah Celsius dan haba dikekalkan dengan pembakaran berterusan,” jelas beliau.

Tambah Kee Yong, penggunaan suhu tinggi itu berlangsung 24 jam selama 10 hari, dan selepas itu lubang api ditutup dengan lumpur kering dan bata bagi mengurangkan kekuatan api.

"Api rendah ini akan menyala 24 jam selama 14 hari lagi dan selepas 24 hari melalui pembakaran, semua lubang udara pada dapur ditutup dan dibiarkan sejuk selama lapan hari sebelum arang terbentuk.

"Selepas melalui proses tadi, saya akan ke dapur arang untuk menilai keadaan kayu tersebut dengan memerhatikan warna dan bau asap yang terhasil. Saya akan hidu asap yang keluar dari lubang udara bagi mengetahui arang terhasil sempurna atau tidak,” katanya, menambah hanya pengalaman dapat membantu seseorang dalam tugas itu.

"Arang yang sempurna tidak akan mengeluarkan bau asap menyengat hidung, dan biasanya tempoh pembakaran yang kita lakukan itu sudah memadai. Kemudian barulah kita biarkan arang terbabit sejuk dan sedia untuk dipasarkan atau digunakan bagi produk hiliran,” tambahnya.

Kee Yong berkata selain pasaran tempatan, arang keluaran kilangnya turut dieksport, terutama ke Singapura.

Produk hiliran berasaskan arang

Umum mengetahui arang digunakan sebagai bahan bakar, namun realitinya bahan ini merupakan sumber penting untuk pelbagai produk lain seperti kosmetik, bahan pencuci dan baja.

Malah, Kee Yong berkata, kilangnya turut menghasilkan produk arang dikenali sebagai"emas hitam” yang sesuai dijadikan cenderamata.

Dipanggil emas hitam kerana mempunyai permukaan yang licin dan berkilat.

"Kita juga ada beg arang nyahbau, sabun berasaskan arang, berus gigi, syampu merawat kegatalan rambut, dan antara produk paling laris ialah cuka kayu.

" Cuka kayu ini kita peroleh daripada wap air yang terhasil semasa pembakaran kayu bakau tersebut dan produk ini kita keluarkan dalam bentuk semburan untuk halau nyamuk, antiradang dan lain-lain lagi,” katanya.

Katanya, produk hiliran tersebut menjadi pendapatan sampingan syarikat dan juga penduduk setempat.

"Kesemua produk yang dihasilkan ini memperoleh pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk," katanya.

Rancakkan ekopelancongan negeri

Tidak setakat itu, industri pembuatan arang ini turut menggalakkan subsektor ekopelancongan di Kuala Sepetang.

Menurut Kee Yong, pengunjung datang untuk melihat sendiri proses penghasilan arang kayu bakau yang secara langsung membantu orang ramai memahami dan menghargai kraf tradisional itu.

"Kebanyakan pelancong datang dari dalam dan luar negara untuk melihat sendiri proses pembuatan arang secara tradisional selain melihat keindahan hutan paya bakau.

"Kami sediakan pemandu pelancong untuk membawa mereka ke kilang dan juga meninjau kawasan hutan bakau. Saya tidak tetapkan kadar bayaran untuk lawatan, terpulang kepada mereka berapa yang mahu mereka bayar,” katanya, menambah pengunjung bagaimanapun perlu membuat tempahan.

Kee Yong berkata, selain menerangkan tentang proses penghasilan arang, pihaknya turut menerangkan tentang penjagaan ekosistem hutan bakau.

"Hutan paya bakau seluas 40,000 hektar ini bukan sahaja sumber kelangsungan industri arang kayu tetapi turut memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan ekologi marin paya bakau.

"Setiap pokok bakau yang ditebang mesti diganti dengan pokok baharu dan ini adalah syarat yang perlu dipatuhi untuk memastikan kelangsungan paya bakau terus dipelihara,” tegasnya, menambah bahawa hutan paya bakau juga berperanan sebagai penampan semula jadi bencana alam.

Ditanya tentang masa depan industri tradisional itu, Kee Yong berkata, beliau akan meneruskan perniagaan keluarganya selagi mampu memandangkan anak-anaknya tidak menunjukkan minat dalam bidang berkenaan.

"Industri ini masih ada potensi, namun tidak mustahil pada masa akan datang perniagaan yang ada di sini diteruskan oleh orang luar kerana tidak ramai anak muda yang mahu menjadi pelapis,” ujarnya. - Bernama