'Abang lumpuh separuh badan, tolong kami bawa pulang'

Iklan
Nur Alisa Humaira ketika melawat abangnya yang terlantar di Hospital Asan Medical Center, Korea Selatan.

KOTA KINABALU - Kos rawatan yang semakin bertambah dan dijangka boleh mencecah sehingga RM200,000 menyebabkan ahli keluarga seorang lelaki yang sedang terlantar di sebuah hospital di Korea Selatan mengambil keputusan mahu membawanya pulang semula ke Malaysia dengan segera.

Bagaimanapun, usaha membawa pulang Hafiz Francis, 43, yang kini lumpuh separuh badan tidak dapat dilakukan jika mereka tidak melunaskan sepenuhnya bil rawatan hospital yang dijangka berbaki sekitar RM150,000.

Iklan
Iklan

Susulan itu, ahli keluarga Hafiz yang berasal dari Sook, Keningau merayu bantuan orang ramai untuk mengumpul dana bagi menampung kos rawatan tersebut, sekali gus segera membawanya pulang bagi mengelak lebih lama berada di hospital itu.

Adiknya, Nur Alisa Humairah, 32, mengakui mereka sekeluarga kini buntu memikirkan kos yang perlu ditanggung sejak enam hari abangnya dirawat di Hospital Asan Medical Center.

Iklan

Menurutnya, dia dan seorang lagi kakaknya yang tiba di negara itu pada Sabtu lalu masih dalam keadaan terkejut kerana memikirkan keadaan abangnya yang terlantar ketika ini.

Katanya, dia mendapat khabar duka itu daripada seorang rakan abangnya memaklumkan kejadian tersebut.

Iklan

"Setakat Sabtu lalu, kami dimaklumkan kos rawatan telah mencecah RM108,201.03 seperti dinyatakan dalam bil dan jumlah ini terus meningkat setiap hari sehingga RM200,000 jika berterusan berada di hospital ini," katanya kepada Sinar Harian melalui panggilan aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Nur Alisa Humaira berkata, mereka sekeluarga bercadang untuk membawa pulang abangnya ke Malaysia dengan segera bagi mengelak kos rawatan bertambah.

"Kami bercadang mahu membawanya pulang ke Malaysia dan meneruskan rawatan di sana memandangkan kos rawatan bagi pesakit bukan warganegara adalah sangat tinggi di sini.

"Perkara ini turut kami tularkan di media sosial dan setakat ini hanya berjaya mengumpul sekitar RM50,000 untuk membayar kos tersebut.

"Kini kami memerlukan sekitar RM150,000 lagi baki yang perlu dilunaskan sebelum membawanya keluar dari hospital dan seterusnya membawanya pulang semula ke Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Nur Alisa Humaira merayu kepada orang ramai supaya dapat menyumbangkan dana kepada mereka untuk menampung bil rawatan tersebut bagi membolehkan abangnya dibawa pulang ke Malaysia.

"Kami perlu membawa abang kami pulang ke Malaysia, namun pihak hospital memerlukan pembayaran penuh sebelum urusan keluar hospital dapat dilakukan.

"Namun kami tidak mampu melunaskan bil yang tertunggak. Kami kini terdesak dan sangat buntu dan amat memerlukan bantuan. Dengan rasa rendah hati, kami ingin memohon sumbangan ikhlas untuk meringankan beban kami.

"Orang ramai yang ingin menyumbangkan dana boleh menghubungi saya terus di talian 012-6425698 atau salurkan terus ke akaun CIMB 7056149003, milik saya.

"Bagi mereka yang berada di Korea Selatan boleh disampaikan ke dalam akaun Keb Hana Bank di bawah penama Elik Andirios (11692130780937)," katanya.