PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan komited untuk memperhebat usaha membasmi kemiskinan tegar selaras dengan prestasi ekonomi negara yang sihat, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan tidak ada yang tertinggal, seiring dengan kerangka Ekonomi Madani.
"Kalau tidak kita akan terus terpisah antara golongan semakin kaya dan golongan yang semakin miskin walaupun angka pertumbuhan ekonomi negara nampak baik,” katanya ketika berucap di Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan, di sini pada Isnin.
Rafizi berkata, setakat ini indikator ekonomi menunjukkan data memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi yang positif, inflasi terkawal, pasaran saham terbaik di rantau ini dan pengukuhan nilai ringgit, menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat dalam mengendalikan ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu terus fokus bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati oleh semua pihak terutamanya golongan memerlukan.
Rafizi berkata, pada masa hadapan mungkin berlaku kekangan terhadap keupayaan jabatan kerajaan untuk menstrukturkan kembali masyarakat khususnya membabitkan usaha pembasmian kemiskinan.
"Kerana kita ada kekangan kewangan kita juga akan ada kekangan dari segi keberkesanan. Oleh itu, kita perlu beri tumpuan kepada kumpulan terlibat dalam masyarakat untuk memainkan peranan ini (membantu) dengan sistem dasar dan ekosistem yang memberdayakan mereka untuk sama-sama dengan kerajaan membasmi kemiskinan.
"Kalau kita tanya kebanyakan daripada penerima daripada kumpulan berpendapatan rendah, selain daripada bantuan tunai, penyelesaian lebih baik ialah aktiviti ekonomi yang dapat menghasilkan pendapatan yang berterusan," katanya.
Berdasarkan pengalaman beberapa negara lain seperti India, Bangladesh dan Sri Lanka didapati kebanyakan golongan miskin lebih mengutamakan peluang pekerjaan berbanding bantuan tunai, katanya.
Beliau berkata, ia menjadi cabaran kerajaan dalam merangka program berkesan kerana berdasarkan pengalaman terdahulu, menunjukkan bantuan dalam bentuk tunai atau kelengkapan semata-mata untuk membantu golongan miskin memulakan perniagaan sering tidak mencapai kejayaan diharapkan.
Menurut Rafizi, ia bukan kerana bantuan tunai tidak mencukupi atau peralatan tidak berkualiti sebaliknya, golongan berpendapatan rendah yang menjalankan perniagaan kecil lebih memerlukan ilmu, latihan serta pengalaman agar mereka tidak berdepan risiko perniagaan secara bersendirian.
"Walaupun kerajaan telah memberi bantuan beberapa ratus juta, laporan menunjukkan selepas tiga hingga empat tahun, mereka yang mendapat bantuan masih belum dapat boleh keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.
Bertemakan Bersama, Berdaya dan Mampan, simposium hari ini menekankan enam rukun Madani dalam menoktah kemiskinan iaitu 'Bersama' yang merujuk kepada pendekatan menyeluruh negara untuk memajukan pelbagai aspek, 'Berdaya' menekankan kemampuan individu dalam mencapai matlamat dan 'Mampan' berkaitan pelaksanaan usaha dan pencapaian berterusan.
Beliau berkata, pelaksanaan cadangan dasar dan strategi dalam simposium itu akan dijadikan input untuk penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi membantu kerajaan menoktah kemiskinan.
Usaha itu diharap menjadi titik tolak kepada inisiatif lebih mampan, memastikan seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan miskin dan rentan menerima manfaat dan keluar dari kemelut kemiskinan, katanya. - Bernama