KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengkaji semula kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ia dilaksanakan buat kali kedua dalam dasar pendidikan negara.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau berkata, kajian itu sangat penting kerana pihaknya tidak mahu 'pisang berbuah dua kali', apatah lagi ia membabitkan masa depan generasi baharu pada masa akan datang.
"Misalnya seperti guru, ibu bapa dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PPSMI merupakan dasar pendidikan berasaskan bahasa Inggeris dan pelaksanaan kali pertama sebelum ini menyebabkan prestasi pelajar merudum.
Menurutnya, susulan itu, ramai tampil membantah sebelum akhirnya menyebabkan PPSMI dimansuhkan sekitar 2012.
ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM
Dominic berkata, antara punca kegagalan PPSMI pada 2003 ialah pengimplementasiannya kurang berkesan, masalah kekurangan guru berbahasa Inggeris dan ketidakupayaan pelajar kuasai bahasa Inggeris dalam pelajaran.
Menurutnya, berdasarkan keputusan pencapaian prestasi pelajar pada 2003 hingga 2011, purata skor merudum dengan purata skor sebanyak 474 berbanding 508 bagi subjek Matematik serta 471 berbanding 510 untuk subjek Sains.
Pencapaian tersebut katanya, menunjukkan nilai penguasaan pelajar terhadap PPSMI rendah.
"Jika kerajaan berhasrat untuk kembalikan PPSMI ke dalam sistem pendidikan negara, perlu kaji dan cari solusi terbaik untuk permasalahan sedemikian.
"Buktikan pada masyarakat bahawa PPSMI praktikal untuk dilaksanakan buat kali kedua," katanya.