'Arwah banyak diam berbanding sebelum ini' - Menantu

Iklan
Farhana menunjukkan gambar Allahyarham Abu Zaini bersama anaknya.

KUALA PILAH -"Arwah banyak diam berbanding sebelum ini, malah anak sulung saya juga menangis mahu bersama datuknya di kampung lebih lama," kata menantu Allahyarham Abu Zaini Ibrahim, 64, Farhana Omar, 32.

Abu Zaini maut bersama anak lelakinya, Izni Syafiq, 31, dalam nahas selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tembok jambatan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Johol di Kilometer 21 Jalan Kuala Pilah-Tampin pada Ahad.

Iklan
Iklan

Farhana berkata, perubahan sikap bapa mentuanya itu dilihat sewaktu mereka sekeluarga pulang ke kampung kira-kira dua minggu lalu.

Gambar kenangan Abu Zaini bersama seorang cucunya.

"Arwah dengan cucunya memang rapat (main bersama) tetapi kali ini berbeza, arwah banyak diam nampaklah perubahan tersebut.

Iklan

"Semasa kami hendak balik rumah di Seremban pula, anak sulung saya menangis mahu duduk dengan datuknya, biasa dia tidak begitu dan kami tidak sangka arwah bersama alang (Izni Syafiq) akan pergi semalam," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah pada Isnin.

Izni Syafiq turut maut dalam nahas tersebut.

Jenazah Allahyarham Abu Zaini yang merupakan bekas Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Johol akan kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Kuala Johol bersama jenazah anaknya dijangka selepas Zuhor.

Iklan

Sementara itu, isteri dan seorang anak perempuan Allahyarham masing-masing berusia 62 dan 28 tahun yang turut parah dalam nahas berkenaan masih menerima rawatan lanjut di HTAN.

Suasana di pekarangan Unit Forensik HTAN Kuala Pilah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kejadian pada jam 3.45 petang itu berlaku semasa mangsa yang menaiki kereta Perodua Axia dalam perjalanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka menghala ke Johol.

Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu Abu Zaini hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tembok jambatan berdekatan Masjid Jamek Pekan Johol.