KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menggunakan medium papan iklan digital bagi menyampaikan informasi dalam usaha cegah jenayah dan kempen kesedaran.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kempen pencegahan jenayah melibatkan program cegah jenayah, anti scam, akitiviti polis dan masyarakat serta mesej kesedaran jenayah dipaparkan menerusi iklan digital Wow Media.
"Kerjasama Polis Kuala Lumpur dan Wow Media Sdn Bhd telah terjalin sejak beberapa tahun lalu sebelum bermulanya penyewaan tapak bagi mendirikan papan iklan digital di tanah milikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur," katanya dalam ucapan perasmian papan iklan digital di Balai Polis Sri Hartamas, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, Wow Media Sdn Bhd berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan informasi kepada masyarakat melalui papan iklan digital.
"Cadangan bagi sewaan tapak premis milikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah dibuat pada 2021, katanya.
Menurutnya, pihak Wow Media Sdn Bhd telah mengemukan permohonan sewaan tersebut.
"Keluasan sebanyak empat tapak telah diberikan dengan pecahan dua tapak di Balai Sri Hartamas dan masing-masing satu tapak Balai Polis Kepong serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Saya difahamkan, sebanyak dua unit paparan iklan digital di Balai Sri Hartamas dan satu di Balai Polis Kepong telah siap dibina dan beroperasi pada suku kedua ini," ujarnya.