Perunding jualan didakwa salah guna wang syarikat lebih RM300,000

Iklan
Seorang perunding jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan salah guna wang syarikat berjumlah lebih RM300,000, tahun lepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang perunding jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan salah guna wang syarikat berjumlah lebih RM300,000, tahun lepas.

Ng Yew Choong, 36, didakwa menyalahgunakan wang milik Syarikat Pangkal Maju Sdn Bhd berjumlah RM334,878.55 melalui akaun bank milik tertuduh iaitu wang itu bukan kepunyaannya di kedai makan sebuah pusat beli belah di Jalan Klang Lama pada 27 April hingga 11 Ogos 2023.

Iklan
Iklan

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Iklan

Peguam R Vikraman yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta ibu bapa yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Nov ini bagi sebutan kes. - Bernama

Iklan