Sembilan rumah rosak dilanda ribut

Iklan
Bumbung beberapa rumah rosak dalam kejadian ribut pada petang Ahad.

JASIN - Sembilan buah rumah di Taman Kelubi Damai di sini mengalami kerosakan teruk akibat ribut kencang pada petang Ahad.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, ribut yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan bumbung rumah penduduk tercabut dan diterbangkan angin kencang.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, A Nelson,50, berkata kejadian ribut itu pertama kali dilalui, namun difahamkan pernah berlaku kejadian sama sebelum dia berpindah ke taman perumahan tersebut.

Nelson menunjukkan gambar rumahnya yang mengalami kerosakan bumbung akibat bencana ribut yang berlaku pada petang Ahad.

Menurutnya, biarpun ditimpa bencana, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga termasuk anak tunggalnya berusia lapan tahun selamat dalam kejadian itu.

Iklan

"Saya tidak sempat berbuat apa-apa, kerana angin datang dengan kuat dan terus menerbangkan bumbung rumah sewa kami.

"Kejadian itu juga menyebabkan anak saya ketakutan dan saya terus memeluknya sebelum melihat kerosakan bumbung terutama di bahagian dapur dan bilik belakang," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Iklan
Satiyabama

Operator kilang, G Satiyabama,49, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dipanggil jiran berhadapan rumah mengenai bumbung rumahnya yang telah rosak.

Menurutnya, kejadian itu berlaku begitu pantas sebelum disusuli hujan lebat menyebabkan beberapa bahagian rumah dimasuki air kerana bumbung rumah yang telah rosak.

"Waktu itu saya hanya fikirkan keadaan emak yang telah berusia dan sukar bergerak.

"Harap bantuan segera disalurkan kerana bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan kami akan menyambut Deepavali pada Oktober ini," katanya.

Khaidhirah (dua dari kiri) ketika bertemu penduduk yang terjejas di Taman Kelubi Damai pada Isnin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang turun padang melawat penduduk terjejas berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan bencana kepada semua keluarga yang terlibat.

"Ini adalah bencana alam yang tidak dapat kita jangkakan memandangkan perumahan ini merupakan kawasan lintasan angin.

"Namun kita akan terus memantau dan tindakan segera akan diambil bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk terkesan," katanya.