MELAKA - Gara-gara menumbuk muka pekerja kedai makan kerana minuman yang dipesan lambat sampai, seorang duda yang bakal berkahwin didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Setia Maidin, 49, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pekerja warga Bangladesh berusia 43 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Gerai Nora Asam Pedas, Medan Selera Semabok di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, pada 22 September lalu.
Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu menyebabkan telinga kiri mangsa berdarah manakala pipi dan jari tangan kanannya bengkak.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon tertuduh dikenakan denda kerana dia telah insaf selain hanya bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan pendapatan kira-kira RM45 sehari.
Hujahnya lagi, anak guamnya juga bakal berkahwin hujung tahun ini masih menanggung anak berusia 12 tahun yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh didenda RM1,000 atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda tersebut.