TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Negeri Serambi Makkah mencipta rekod tulisan tiga juta kalimah ALLAH terpanjang yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di sini, pada Isnin.
Exco Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, lakaran tulisan sepanjang 310.5 meter itu dihasilkan oleh 300 termasuk 200 pelajar Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Bustanus Saadah, jemaah Masjid Annur Kota Kubang Labu dan para ibu bapa.
Menurut beliau, program dianjurkan Zam Zam D Berkat Enterprise tersebut menerima tajaan beberapa pihak dan terbesar daripada Nims Adeliciousz.
"Peserta mengambil masa lapan hari untuk menyiapkan tulisan kalimah ALLAH di atas kertas bermutu tinggi yang diimport dari Itali selain cat digunakan dengan campuran air zam zam.
Turut hadir, Mudir SMU A Bustanus Saadah, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood yang juga Imam Tua Masjid An-Nur.
Pada majlis itu, Wan Fakhrulrazi turut menerima Sijil Anugerah MBOR yang disampaikan oleh wakil MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.
Sebelum ini, kalimah Allah sejuta sepanjang 135 meter direkodkan di Terengganu pada tahun 2015 dan kedua di Johor pada tahun 2023 dengan dua juta kalimah sepanjang 177 meter.
Wan Roslan berkata, peserta yang mengambil bahagian dalam menghasilkan penulisan kalimah Allah itu berwuduk selain menulis dalam keadaan berzikir.
Kata beliau, program tersebut sangat bermakna kerana dapat mengasah bakat penulisan huruf jawi selain meningkatkan takwa kepada Allah SWT.
"Bagi mendapat lebih manfaat daripada usaha ini, tulisan tersebut akan dijual bermula dengan harga RM950 ke atas.
"Hasil yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam tabung sekolah ini dan masjid untuk kegunaan bersama,” katanya.