LOS ANGELES - Kapal angkasa SpaceX Crew-9 Dragon berlabuh dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Ahad, lapor Xinhua.
Kapal angkasa itu dilancarkan menggunakan roket Falcon 9 SpaceX dari Cape Canaveral Space Force Station di Florida, Amerika Syarikat pada Sabtu, dan berlabuh dengan ISS pada 5.30 petang Waktu Timur (2230 GMT) Ahad.
Misi yang diberi kod nama"Crew-9" ini membawa angkasawan NASA, Nick Hague dan angkasawan Roscosmos, Aleksandr Gorbunov ke ISS.
Ia merupakan misi penggiliran kru komersial kesembilan NASA dengan SpaceX.
Anggota Crew-9 akan menjalankan lebih 200 penyelidikan, melibatkan kajian pembekuan darah, kesan kelembapan terhadap tanaman di angkasa dan perubahan penglihatan dalam kalangan angkasawan, menurut NASA.
Kapal angkasa itu dijangka pulang ke Bumi pada Februari tahun hadapan bersama angkasawan Crew-9, serta dua angkasawan NASA iaitu Suni Williams dan Butch Wilmore.
Williams dan Wilmore terkandas di ISS sejak Jun selepas Boeing Starliner mengalami kerosakan. - Bernama/Xinhua