BERAKSI di laman sendiri diharap tidak menjadikan kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu yakin untuk berdepan jaguh Liga Super China, Shanghai Shenhua pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (AFC Elite) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Malah menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio, kesemua pemain perlu kekal fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha meraih mata berharga.
"Bermain di laman sendiri bukannya satu kelebihan kerana pemain tetap perlu memberikan fokus di sepanjang perlawanan.
"Pemain juga perlu terus berdisiplin dan tidak terlalu gopoh memandangkan lawan yang bakal ditentang memiliki kekuatan yang tersendiri terutamanya dari segi ‘set-piece.’
"Lagi pun, mereka turut mempunyai ramai pemain yang tinggi dan ia mampu memanfaatkan ‘set piece’ yang dibuat bagi mencipta jaringan,”katanya.
Untuk rekod, JDT terikat 2-2 pada aksi sulung berdepan Shanghai Port, pada 18 September sementara Shanghai Shenhua pula melakar kemenangan 4-1 dengan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers, 17 September lalu.
Tambah Bidoglio, dia tidak mahu terlalu memberikan fokus dan memikirkan mengenai Shanghai Shenhua dan sebaliknya mahu memberikan tumpuan terhadap persiapan skuad Harimau Selatan itu.
Katanya, kesemua pemain telah pun membuktikan kemampuan dengan berjaya mengikat Shanghai Port 2-2 pada aksi pembukaan sebelum ini dan momentum itu perlu diteruskan.
Sementara itu tonggak pertahanan JDT, Jordi Amat mengakui benteng pertahanan skuad Harimau Selatan itu perlu beraksi sebaik mungkin dalam usaha mengekang asakan-asakan berbahaya pelawat.
Justeru, kesemua pemain turut diharapkan untuk mengekalkan intensiti yang dipamerkan setiap kali beraksi di hadapan penyokong sendiri dalam usaha melakar kejayaan.
"Beraksi di peringkat tertinggi seperti ini, kita tidak boleh mudah hilang bola dan melakukan kesilapan.
"Yang penting kita perlu menang 'second ball' yang boleh dijadikan peluang untuk melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan," katanya.