GISB Travel & Tours antara 81 agensi dipercayai terlibat kartel penetapan harga umrah

Iklan

SHAH ALAM - GISB Travel & Tours Sdn Bhd antara 81 agensi pelancongan umrah dicadangkan dikenakan penalti kewangan dipercayai terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, pihaknya telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap semua perusahaan terbabit.

Iklan
Iklan

Katanya, perlakuan kartel mereka boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

"Melalui penyiasatan pada peringkat ini, MyCC mendapati bahawa kesemua perusahaan yang merupakan ahli persatuan berdaftar di Malaysia bersetuju menetapkan harga lantai bagi kedua-dua perkhidmatan pakej umrah ekonomi dan premium dalam beberapa mesyuarat mereka pada awal 2023.

Iklan

"MyCC juga mendapati bahawa persatuan terbabit membuat pengumuman kepada pihak media untuk memaklumkan kepada orang awam tentang harga lantai yang telah dipersetujui oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hishamudin

Mohd Hishamudin menegaskan bahawa keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah dapatan awal.

Iklan

Menurutnya, ia tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan melanggar Akta 712 pada peringkat berkenaan.

"Seperti yang diperuntukkan dalam akta, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan oleh MyCC," ujarnya.

Tambah Mohd Hishamudin, perusahaan berkenaan diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan tersebut.

"Selepas itu, perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada suruhanjaya pada tarikh ditetapkan kelak.

"MyCC hanya akan keluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan,” jelasnya.