ALOR SETAR - Seramai 2,074 pesawah dan pengusaha-pengusaha pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang terjejas akibat bencana banjir menerima bantuan awal Bakul Makanan Madani pada Isnin.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas turun padang meninjau kawasan tanaman padi yang rosak akibat banjir pada pertengahan September di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di sini
Menurutnya, berdasarkan statistik terkini MADA, seluas 5,915.53 hektar kawasan sawah terjejas akibat bencana banjir melibatkan 2,928 orang pesawah di kawasan Muda dan kajian menyeluruh akan diadakan untuk mengenal pasti kerugian sebenar.
"Banjir tahun ini luar daripada jangkaan, pihak penanam padi yang biasa dengan cuaca, mereka selalunya mengatakan banjir sekitar bulan 10.
"Tetapi kali ini berlaku di pertengahan bulan September, bahkan padi yang sedang masak banyak yang tenggelam," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan simbolik bantuan awal Bakul Makanan Madani kepada wakil pesawah dan pengusaha pertanian di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan MADA C-III Tajar, dekat sini.
Mohamad berkata, bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) disediakan oleh KPKM bagi meringankan beban pesawah yang telah mengalami kerugian dan kehilangan hasil pengeluaran hasil padi luar jangka akibat bencana ini.
Menurutnya, kadar bantuan yang diberikan adalah tertakluk kepada usia padi dengan anggaran nilai bantuan bermula RM876 hingga RM1,800 per hektar.
"Jumlah maksimum bantuan kepada setiap pesawah yang layak adalah terhad kepada keluasan sebanyak tiga hektar sahaja bagi satu musim penanaman," ujarnya.
Tambah beliau, sebagai langkah ke hadapan, KPKM dalam proses peralihan daripada TBTP kepada Skim Perlindungan Takaful Agromakanan yang akan dimulakan dengan subsektor tanaman padi iaitu Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Menurutnya, skim yang diterajui oleh Agrobank ini meliputi skop perlindungan bagi kejadian bencana alam seperti kejadian banjir, kemarau, kebakaran semula jadi, kilat, petir, letupan, ribut taufan, gempa bumi, letusan gunung berapi, tanah runtuh, tsunami, penyakit tanaman dan serangan makhluk perosak.
"STTP menyediakan perlindungan tanaman padi yang lebih baik kepada pesawah individu yang berdaftar sehingga RM3,000 semusim per hektar mengikut usia tanaman dengan caruman premium berjumlah RM64.80 per hektar semusim.
"Bagi fasa pertama pelaksanaannya bermula Musim 2 Tahun 2024, skim ini akan dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan Kerajaan," katanya lagi.