Reman 4 lelaki disyaki curi kabel TM disambung dua hari

Iklan
Reman terhadap empat lelaki dipercayai mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) selepas kereta dinaiki mereka cuba melanggar anggota polis bertugas yang menahan kenderaan itu di Arau Jumaat lepas disambung dua hari lagi. Gambar hiasan

KANGAR - Reman terhadap empat lelaki dipercayai mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) selepas kereta dinaiki mereka cuba melanggar anggota polis bertugas yang menahan kenderaan itu di Arau Jumaat lepas disambung dua hari lagi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, Majistret Mahkamah Kangar Nurshahida Abdul Rahim membenarkan sambungan reman terhadap lelaki berusia antara 20 hingga 34 tahun itu.

Iklan
Iklan

"Untuk makluman, dimaklumkan kes empat suspek itu disambung reman selama dua hari lagi. Tamat reman pada Rabu, 2 Oktober 2024,” katanya ringkas dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Jumaat lepas, Bernama melaporkan polis menahan empat lelaki dipercayai mencuri kabel TM setelah kereta dinaiki mereka cuba melanggar anggota polis bertugas yang menahan kenderaan itu semasa rondaan Op Kabel/Kesan/Pintu/Lejang di persimpangan masuk Taman Jejawi Permai di Arau, awal pagi Jumaat lepas.

Iklan

Ahmad Mohsin berkata, anggota polis cuba menahan kereta itu, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama, seterusnya bertindak memandu laju cuba melanggar anggota polis terbabit tetapi sempat dielak sebelum merempuh kereta yang dinaiki sepasukan anggota polis.

Susulan itu, Ahmad Mohsin berkata, anggota polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah kereta suspek yang kesemuanya berasal dari Sungai Petani, Kedah untuk mempertahankan diri kerana berasa terancam.

Iklan

Kesemua suspek kemudiannya direman dari Jumaat lepas hingga hari ini untuk siasatan lanjut sebelum reman berkenaan disambung dua hari lagi bermula esok. - Bernama