[DIKEMAS KINI] PELUMBA berpengalaman skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Elmi Jumari mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter sebelum garisan penamat pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 peringkat kedua dari Arau ke Butterworth pada Isnin.
Perkembangan itu dikongsikan Ketua jurulatih Malaysia, Mohd Yusof Nasir yang memberitahu Mohd Elmi terpaksa dikejarkan ke hospital.
Malah, beliau turut memberikan bayangan akan kehilangan khidmat pelumba berusia 34 tahun itu untuk peringkat seterusnya.
"Saya tidak dapat perkembangan terbaru tapi saya tahu Elmi kemalangan dan staf jelaskan ia amat membimbangkan.
"Kita juga kemungkinan kehilangan khidmat dia untuk peringkat seterusnya.
"Saya kena ke hospital untuk tahu perkembangan dia," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Dalam perlumbaan sejauh 154.5 kilometer (km) itu dimenangi oleh pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli yang menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 54 saat.
Tempat kedua milik pelumba Polti Kometa, Manuel Penalve Aniorte dan ketiga, pelumba pasukan Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn.
Bagaimanapun, pada 100 meter terakhir, berlaku kemalangan membabitkan beberapa pelumba ketika mereka menuju ke garisan penamat.
Dalam pada itu, Mohd Yusof juga mengakui buntu sekiranya terpaksa kehilangan khidmat Elmi namun tetap perlu memastikan perjalanan skuad negara dapat diteruskan.
"Sekiranya kehilangan Elmi ia sesuatu yang sukar kerana dia satu-satunya sprinter yang ada.
"Namun, saya dan pasukan kena lakukan yang terbaik untuk melaluinya. Apa saja dugaan kita kena hadapi dan buat terbaik untuk pasukan negara," katanya.