Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ dijel 10 tahun

Iklan
Mahadi (kiri) sewaktu diiringi polis dari E8 Bukit Aman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 2019 lalu. - Foto: Fail Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ melakukan aktiviti keganasan untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, lima tahun lalu mengundang padah, apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun.

Hakim, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mahadi Mamat, 39, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan, bagi lapan kes yang dihadapi lelaki itu.

Iklan
Iklan

Noorin berkata, walaupun mengikut perubatan, tertuduh disahkan menghidap ‘skizofrenia’ atau gangguan mental, namun dia gagal menimbulkan keraguan munasabah dari segi perundangan.

Katanya, ada keterangan menunjukkan mental tertuduh ialah waras dan berfungsi dengan baik semasa melakukan kesalahan itu.

Iklan

Selain itu, Noorin berkata, tindakan pemuda berkenaan menyembunyikan senjata dan bom paip di ladang itu, jelas menunjukkan tertuduh mengetahui perbuatan yang dilakukannya.

"Susulan itu, mahkamah menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan ketujuh.

Iklan

"Hukuman penjara selama lima tahun bagi masing-masing kes kelima, keenam dan kelapan manakala enam tahun penjara bagi pertuduhan keenam,” katanya yang memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap, 5 Mei 2019.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya dan mengancam untuk membunuh empat individu, melalui kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Bagi pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) kanun sama yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda.

Sementara itu bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam bom paip dan satu pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas, mengikut Seksyen 130JD (1) kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’, untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semua tujuh pertuduhan itu didakwa dilakukan di Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, antara 7 Januari dan 5 Mei 2019.

Pertuduhan kelapan pula, Mahadi didakwa memilik item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, pada tarikh sama.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim merayu, mahkamah mengenakan hukuman berat kerana dia didapati bersalah atas pertuduhan kes yang serius.

"Dia didapati memperoleh pistol dan enam bom yang ditanam di sebuah ladang kelapa sawit,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Farida Mohammad yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya perlu menyara seorang isteri yang mempunyai penyakit ‘Sistematik Lupus Eritematosus (SLE)’.

"Dia disahkan mempunyai penyakit mental itu, ketika ditahan reman sementara menunggu keputusan kes ini selesai.

"Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta dilakukan anak guam, jadi saya mohon dia dikenakan hukuman pemenjaraan yang singkat, berjalan serentak dari tarikh tangkap,” katanya yang hadir bersama peguam, Khairul Naim Rafidi.