Pembantu gerai pisang goreng maut nahas tiga kenderaan

Iklan
Wan Nur Haziqahtul Akma maut di lokasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan. - Foto Ihsan PDRM.

PASIR PUTEH - Seorang pembantu gerai pisang goreng maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 0.5, Jalan Pasir Puteh - Semerak, di sini, pada Ahad.

Mangsa, Wan Nur Haziqahtul Akma Wan Hazman, 18, meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.15 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, berkata, pihaknya melalui kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerima makluman berkait kemalangan pada jam 6.33 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta kancil yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu memberi isyarat ke kiri untuk berhenti di bahu jalan, namun secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa melanggar belakang bahagian kanan kenderaan itu dan terjatuh.

"Pada masa yang sama sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari arah yang sama terlanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

Iklan

Beliau memberitahu, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal terbabit maut di lokasi kerana kecederaan parah pada bahagian kepala manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang jatuh atas jalan raya selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan. - Foto Ihsan PDRM.

"Pihak polis giat mengesan kenderaan dan pemandu kereta jenis Perodua Kancil bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh hadir ke mana-mana balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-9386224.