YAN - Seorang wanita dipercayai penagih yang terpaksa meninggalkan anaknya menangis kerana enggan ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan yang datang ke rumahnya di sini, pagi tadi.
Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, wanita berusia 28 tahun itu sedang bermain bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun di bawah rumah mereka, ketika anggota penguat kuasa AADK datang memperkenalkan diri untuk prosedur tahanan.
"Hasil saringan air kencing mendapati, wanita ini positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. Berdasarkan aduan awam, dia sering dilihat membawa anaknya ke mana-mana sahaja termasuk ketika mahu mendapatkan bekalan dadah.
"Lebih membimbangkan, dia juga dipercayai dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas dirinya," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohamad, selepas dipujuk oleh anggota AADK wanita berkenaan yang dilihat tidak terurus memberikan kerjasama sebelum dibawa ke Pejabat AADK untuk tindakan lanjut.
"Semakan ke atas rekod lampau mendapati wanita berkenaan mempunyai dua rekod pusat pemulihan dan dua rekod dipenjarakan.
"Hasil soal siasat juga mendapati suami wanita ini terlibat dengan dadah dan sedang dipenjarakan," katanya.
Menurut Mohamad, anak wanita tersebut diserahkan kepada keluarga terdekat selepas perbincangan dibuat bagi menjamin keselamatan kanak-kanak itu.
Kes akan disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.