SHAH ALAM - Seramai 466 peserta berjaya memperoleh pekerjaan melalui penganjuran Program Karnival Kerjaya Jobcare Selangor yang telah dilaksanakan di lima daerah di negeri ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, lima daerah tersebut adalah Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Gombak.
Jelasnya, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan inisiatif dirangka kerajaan negeri dalam membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan dengan lebih pantas dan mudah.
Ujarnya, terdapat juga sesi temu duga kerja yang akan dijalankan sepanjang hari.
Justeru, beliau menggalakkan orang ramai membawa salinan butiran diri dan bersedia untuk ditemu duga segera.
Selain itu, ujarnya lagi, terdapat kaunter khas yang menyediakan bimbingan bagi memperbaiki butiran diri.
"Dengan kejayaan dicapai di daerah lain, kerajaan negeri berharap program ini akan terus memberikan impak positif kepada pencari kerja dan majikan.
"Orang ramai dipelawa untuk hadir ke program ini dan jadikanlah ia sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah kerjaya yang diimpikan," tambahnya.