Kastam Perak rampas barangan bernilai lebih setengah juta

Iklan
Abdul Ghafar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barang-barang yang dirampas JKDM dalam beberapa operasi sepanjang Ogos hingga September 2024 di Perak.

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas pelbagai barangan melibatkan rokok, minuman keras, dadah dan minyak petrol bersubsidi dengan nilai sitaan RM639,579 dalam beberapa operasi sepanjang Ogos hingga September 2024.

Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, sitaan paling besar membabitkan 387,788 batang rokok dan 2,273 liter minuman keras dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM410,008.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rampasan rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang larangan itu dibuat hasil operasi sepanjang tempoh berkenaan di sekitar Perak.

"Rokok dan minuman keras adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat seperti mana yang ditetapkan di bawah Butiran 1 dan Butiran 3, Bahagian 2,Jadual Ketiga,Perintah Kastam (larangan Mengenai Import) 2023.

Iklan

"Kes masih dalam siasatan. Seramai 13 orang lelaki dan seorang wanita ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, dalam tempoh sama juga pihak JKDM turut membuat sitaan membabitkan 3.3 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM13,331.

Iklan

Menurutnya, bungkusan dadah terbabit dirampas di dua pejabat pos di sini yang disyaki untuk diedar kepada pelanggan menggunakan kaedah pos.

Katanya, susulan itu dua lelaki ditahan untuk bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya manakala dadah yang dirampas dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi bernilai RM210 menggunakan kenderaan dengan tangki yang telah diubah suai ke negara jiran.

Menurutnya, kes terbabit dikesan berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

Susulan itu katanya, minyak petrol bersubsidi itu dirampas bersama-sama kenderaan yang digunakan selain seorang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Jelas beliau, JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau melalui pejabat Kastam berhampiran.