Zuraida mohon cuti daripada semua jawatan dalam PKR

Iklan
Zuraida

AMPANG - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menghantar surat permohonan cuti daripada memegang semua jawatan dalam parti sehingga lembaga disiplin selesai menjalankan siasatan ke atas dirinya.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad pada satu sidang media hari ini dan turut memaklumkan surat berkenaan telah dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Iklan
Iklan

"Satu surat juga telah dihantar kepada Lembaga Disiplin PKR untuk meminta prosiding dan tatacara siasatan terhadap Yang Berhormat Zuraida ditangguhkan seketika susulan dua surat berkaitan tindakan undang-undang yang diterimanya.

"Dua surat tindakan undang-undang ini daripada Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di mana kedua-dua kandungan surat yang dihantar sama seperti pertuduhan ditujukan kepada Zuraida dalam surat notis tunjuk sebab Lembaga Disiplin,” katanya hari ini.

Iklan

Zuraida sebelum ini dirujuk kepada lembaga disiplin berhubung ucapannya yang mengkritik Anwar pada 8 Disember pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Nor Hizwan berkata, mengambil contoh kes siasatan membabitkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berhubung dakwaan terhadap kerajaan Selangor, Zuraida turut berhak mendapat penangguhan.

Iklan

"Parti pada waktu itu bertindak menangguhkan tindakan Lembaga Disiplin bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

"Peguam Zuraida sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan seterusnya. Oleh itu, lebih elok sekiranya tidak berlaku sebarang pertindihan, konflik dan tindakan salah sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang Ampang, Amsah Djabir pada sidang media sama mendakwa Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terlibat dalam komplot menyingkirkan Zuraida menerusi hantaran di aplikasi WhatsApp supaya tidak menyokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kerana bakal dipecat.

Katanya, tindakan tersebut seolah-olah mendahului keputusan siasatan lembaga disiplin parti yang masih berjalan.

"Kami PKR Ampang meminta Johari menjelaskan dengan terang apa yang dimaksudkan dalam mesej WhatsApp berkenaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Zuraida serah surat jawapan tunjuk sebab

Penyokong Zuraida dakwa berlaku pilih kasih