Hiasan tayar terpakai jadi pendapatan tambahan

Iklan
Rahmat bersama menantunya, Fadila Mostin, 34 menunjukkan antara hasil kreatif daripada tayar terpakai.

KUALA PILAH - Siapa sangka sentuhan kreatif seorang peneroka Felda Kepis dekat sini mengolah tayar terpakai untuk dijadikan hiasan sempena pertandingan keceriaan blok, kini menjadi sumber pendapatan tambahan keluarganya.

Rahmat Sulaiman, 68, yang mesra di panggil Tok Mat berkata, pada mulanya ia sekadar suka-suka selain meluangkan masa terluang memberi komitmen menyiapkan hiasan tersebut pada Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Ketika itu pihak pengurusan Felda menganjurkan Pertandingan Keceriaan Blok Felda Kepis dan bagi memeriahkan suasana, maka tercetus lah idea untuk buat hiasan daripada tayar terpakai di kediaman penduduk Blok D.

"Jadi saya memilih untuk membuat replika berbentuk motosikal daripada tayar terpakai bagi 24 unit rumah di dalam Blok D sahaja dan kami berjaya mendapat tempat kedua," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Isnin.

Rahmat menyiapkan sebuah motosikal daripada tayar terpakai.

Iklan

Bagaimanapun katanya, sambutan selepas itu amat memberangsangkan apabila ada yang membuat tempahan pelbagai reka bentuk antaranya bangku kambing, jam, kerusi dan meja termasuk motosikal dengan harga yang ditawarkan antara RM40 hingga RM70.

"Menantu saya kemudiannya membuat iklan di Facebook, Alhamdulillah tempahan semakin bertambah membabitkan pelanggan dari negeri Selangor dan Melaka termasuk Negeri Sembilan," katanya.

Bangku kambing

Iklan

Dalam pada itu, Tok Mat berkata, untuk menyiapkan satu-satu hiasan tersebut mengambil masa kira-kira sehari berikutan pembuatannya agak rumit kerana perlu memotong, menyambung, menampal dan mengecat sesuai reka bentuk yang dikehendaki pelanggan.

"Tayar ini adalah tayar terpakai kebanyakan saya diperolehi di kedai-kedai tayar dan saya memilih tayar terpakai ini kerana ingin manfaatkan barangan terpakai selain dapat mengurangkan beberapa kos.

Rahmat menunjukkan antara tayar terpakai yang digunakan untuk membuat pelbagai hiasan.

"Kebiasaannya saya akan menyiapkan produk daripada tayar ini selepas selesai menoreh pada waktu pagi. Kalau banyak tempahan saya akan upah pembantu selain dibantu isteri.

"Alhamdulillah setakat ini sudah lebih 50 biji rekaan daripada tayar terpakai terjual sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada saya sekeluarga," katanya.