JIKA sudah namanya mandi, sabun dan syampu antara item yang akan digunakan bagi membersihkan tubuh, selain memberus gigi serta mencuci muka.
Menjadi kelaziman kebanyakan orang berbuat demikian hinggakan perkara seumpama itu turut dipraktikkan ketika mandi wajib.
Namun begitu, ada yang mengatakan bahawa mandi wajib dengan menggunakan sabun dan syampu adalah tidak sah. Benarkah pernyataan itu?
Sebelum menjawab tanda tanya itu, mantan Mufti Wilayah Persekuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terlebih dahulu memberi penjelasan tentang kewajipan mandi wajib.
ALLAH SWT berfirman:"Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” (Surah al-Maidah: 6)
"Terdapat banyak persoalan hukum yang dapat dikeluarkan dari ayat itu. Antaranya Syeikh As-Sa’di menyatakan, ia termasuklah perintah mendirikan solat, perintah berniat untuk mengerjakan solat, disyaratkan untuk bersuci daripada hadas bagi sah solat dan bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat, tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain.
"Menurut kitab Al-Fiqh al-Manhaji, mandi wajib secara umumnya ialah mandi yang tidak sah ibadah tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkannya seperti janabah (junub), haid, bersalin dan mati,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #7168: Mandi wajib dengan menggunakan syampu/ sabun yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri baru-baru ini.
Melihat ungkapan itu, ujar Dr Zulkifli, jelas bahawa tujuan mandi wajib adalah untuk mengangkat hadas besar.
"Malah, ia kekal dengan sifat asal kejadiannya yang dijadikan oleh ALLAH SWT walaupun sudah berubah kerana lama terbiar, disebabkan tanah, lumut, tempat bertakung atau tempat mengalirnya itu mengandungi belerang.
"Dr Wahbah Az-Zuhaili menyebut, antara air yang boleh digunakan untuk bersuci ialah air laut, hujan, sungai, mata air, salji dan air sejuk.
"Pada masa sama, para ulama menetapkan bahawa syarat fardu bagi mandi wajib ada tiga iaitu niat, menghilangkan najis pada badan sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) serta badan,” terangnya panjang lebar.
Menjawab persoalan tentang mandi wajib menggunakan sabun dan syampu, Dr Zulkifli menjelaskan, tidak memadai mengangkat hadas besar jika menggunakan air sabun atau syampu.
Ini kerana kedua-duanya tidak dikira sebagai air mutlak.
Bagaimanapun, tambah beliau lagi, sabun dan syampu itu lazimnya digunakan sebagai alat bantuan untuk menghilangan kekotoran pada badan dan kepala, di samping menambahkan lagi seri serta wangian pada tubuh.
"Kemudian, sabun dan syampu tadi akan dibilas pula dengan air bersih sehingga ia hilang.
"Justeru, sah mandi wajib yang dilakukan dengan syarat air itu diratakan dan sampai ke seluruh rambut serta badan,” hurainya.