Kontraktor tak lena tidur, pelaburan RM688,000 'hangus'

Iklan
Seorang kontraktor rugi RM688,000 gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.Foto hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor tidak lena tidur apabila pelaburan sahamnya berjumlah RM688,000 lesap gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohamad Sohaimi Ishak, lelaki berusia 50 tahun itu telah berminat dengan satu pelaburan saham bernama DFA yang dilihat melalui laman sosial Facebook, Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, mangsa kemudiannya telah dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp dan diberikan penerangan serta turut berhubung melalui panggilan video dengan suspek yang mengajar cara-cara untuk melabur.

"Mangsa turut dijanjikan keuntungan 410 peratus untuk lima fasa pelaburan yang akan berjalan selama tiga bulan yang mana kadar keuntungan bagi setiap fasa adalah antara 50 peratus sehingga 150 peratus dan mangsa akan diberikan surat perjanjian melalui WhatsApp dan diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan bernama ATS-P bagi urusan selanjutnya.

Iklan

"Pada Ogos 2024, mangsa telah dua kali mendapat pulangan wang berjumlah RM64,000 dan dimaklumkan telah berada pada fasa keempat,” katanya.

Tambah Mohd Sohaimi, pada awal September 2024, mangsa tidak berjaya mengeluarkan wang daripada aplikasi ATS-P, dan diminta membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelan pelaburan.

Iklan

Bagaimanapun katanya, mangsa enggan berbuat demikian kerana ia memerlukan jumlah penambahan pelaburan yang banyak.

"Akibatnya, akaun mangsa dibekukan dan mangsa tidak boleh lagi mengakses ke akaun tersebut.

"Mangsa yang mula rasa curiga telah membuat semakan di ibu pejabat syarikat tersebut dan dimaklumkan bahawa syarikat tersebut tidak pernah terlibat dalam pelaburan tersebut.

"Mangsa yang percaya telah ditipu kemudiannya tampil membuat laporan polis pada Ahad,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.