LTdL 2024: Skuad kebangsaan tempang tanpa Elmi

Iklan
Muhammad Elmi Jumaari

USAHA skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan untuk melakar kejayaan pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 terjejas apabila pakar pecut Muhammad Elmi Jumari terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter (m) menuju garisan penamat peringkat kedua hari ini.

Pada perlumbaan dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5 kilometer (km) itu, Elmi terjatuh bersama beberapa pelumba di laluan sempit dalam percubaan melintasi garisan penamat lebih awal, mengakibatkan wakil Malaysia itu mengalami kecederaan.

Iklan
Iklan

Difahamkan, pelumba berusia 34 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan patah jari selain telah dipindahkan dari Hospital Seberang Perai ke sebuah hospital pakar di sini bagi menjalani rawatan.

Ketua jurulatih skuad berbasikal negara, Mohd Yusof Nasir yang mengesahkan perkara itu mengakui jika keadaan Elmi serius, beliau akan kehilangan satu-satunya pakar pecut dalam pasukan.

Iklan

"Sedikit sebanyak akan mengganggu perancangan pasukan tapi masih boleh diperbaiki dan pasukan Malaysia masih boleh hasilkan keputusan yang baik.

"Cuma kami perlu berusaha lagi untuk peringkat seterusnya. Jika keadaan dia (Elmi) membimbangkan dan tak dapat meneruskan perlumbaan, kami akan menyambung saingan dengan lima pelumba sahaja," katanya ketika ditemui di sini.

Iklan

Terkini, Elmi dilaporkan turut didenda sebanyak 200 Swiss Franc (RM978.50) oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menerusi keputusan dikeluarkan komisar LTdL 2024 selepas didakwa menjadi punca kemalangan peringkat kedua itu.

Pelumba JCL Team UKYO Matteo Malucelli muncul juara peringkat kedua selepas menamatkan saingan dengan catatan 3 jam 34 minit 54 saat, diikuti pelumba Polti Kometa, Manuel Penalve Aniorte kedua dan ketiga, pelumba Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn. - Bernama