Perompak larikan MPV depan mata, polis jalankan siasatan

Iklan
Menerusi rakaman video, suspek bertindak nekad melarikan Toyota Alphard dalam kejadian pada Ahad. Foto ihsan pembaca

IPOH - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kecurian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard selepas video kejadian itu tular di media sosial pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 43 tahun pada jam 4.19 pagi di Jelapang, Ahad lalu.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan, pengadu merupakan warga tempatan mendapati MPV yang berada dalam kawasan pagar rumahnya telah dilarikan seorang lelaki.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan.

Menerusi video tular yang dimuat naik @farrahouz1 di akaun TikToknya, kecurian itu berlaku di hadapan mata apabila suspek bertindak nekad melarikan MPV terbabit.

Iklan

"Kereta kami dicuri dengan mudah. ‘Gate arm’ dibuka, ‘unlocked’ kereta guna alat kawalan jauh mereka dan tak takut langsung walau kami dah bunyikan penggera dan menjerit.

"Perompak tekad hidupkan enjin dalam masa lima hingga tujuh minit (agak lama sebenarnya berbanding dia pilih untuk lari bila kami menjerit).

"Kami tidak berani keluar takut perompak ada geng tunggu di luar atau ada pistol. Terkedu," tulisnya dalam video itu.