GISBH: Negeri Sembilan ambil tindakan selepas dapat keputusan pihak berwajib

Iklan
Aminuddin Harun

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang perkara berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini selepas mendapat keputusan daripada pihak berwajib.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada pihak berkuasa termasuk polis, jabatan agama negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan susulan.

Iklan
Iklan

"Polis dah ambil tindakan mahkamah, dah dakwa (yang terlibat), siasatan juga berterusan, saya serah kepada mereka dan kita tunggu keputusan pendakwaan atau tindakan seterusnya.

"Kerajaan negeri akan melihat tindakan di pihak berwajib, Majlis Bandaraya Seremban hanya akan bertindak jika ada keputusan daripada mahkamah atau memang ada kacau ganggu kepada keadaan bandar raya, kalau tak kita tak ambil tindakan,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Festival Kesenian Islam dan Karnival Kanak-Kanak Sihat dan Pintar peringkat negeri yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Rafea’ah Nahar di sini hari ini.

Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Global pada 11 Sept lepas dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Iklan

Sejak Op Global bermula lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan. - Bernama