Polis sahkan Sabari dibunuh, dicampak ke dalam sungai

Iklan

ALOR SETAR - Misteri kehilangan bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan, Sabari Baharom, 62, di Baling akhirnya terungkai selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki membunuh mangsa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat suspek, Sabari dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu, mengaku melakukan perbuatan berkenaan.

"Pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

Iklan

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha pencarian masih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Suraiya Izzaty Sabari, 29, yang merupakan anak sulung Sabari Baharom, 62, menunjukkan gambar ayahnya yang dilaporkan hilang sejak 3 September lalu.

Susulan itu, beliau berkata, siasatan yang dilakukan membabitkan mangsa hilang kini dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

Jelasnya, perkembangan itu telah pun dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

"Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Sebaliknya orang ramai diminta untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sabari dipercayai keluar berjumpa rakannya dengan menaiki kereta Proton Waja berwarna emas pada malam 3 September lalu.

Bagaimanapun, keesokan harinya mangsa gagal dihubungi.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarga memandangkan kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun mangsa tidak ditemui.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun lelaki itu ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.