Ringgit ditutup pada 4.12, paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan

Iklan
Ringgit diniagakan mengukuh pada 4.1210/1280 daripada 4.1230/1280 yang dicatat pada Jumaat lepas. - Gambar hiasan 123RF
RINGGIT mengakhiri urus niaga Isnin dengan mengukuh, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Prestasi itu didorong oleh jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) melaksanakan penurunan seterusnya kadar faedah susulan pengumuman data inflasi terbaharu di negara maju itu.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan mengukuh pada 4.1210/1280 daripada 4.1230/1280 yang dicatat pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan momentum kenaikan ringgit yang berterusan itu dipacu oleh jangkaan bahawa Fed di landasan untuk terus mengurangkan kadar faedah berikutan trajektori inflasi yang lebih rendah di AS.

"Ringgit terus mengekalkan kecenderungan pengukuhannya berbanding dolar AS hari ini, malah mencecah paras 4.09 pada sesi awal yang kali terakhir dicatat pada April 2021 (tertinggi dalam tempoh 41 bulan), sebelum ke paras 4.12 pada sesi seterusnya hari ini," katanya kepada Bernama.

Mekanisme pengukur utama Fed -- Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi meningkat 2.2 peratus pada Ogos yang lebih rendah daripada jangkaan awal, sebagaimana diumumkan pada Jumaat lepas.

Dalam senario ketegangan geopolitik susulan pembunuhan pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah pada Jumaat, Mohd Afzanizan berkata ringgit sebaliknya dilihat terus lancar meredah cabaran luaran.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes juga berkongsi sentimen sama apabila berkata trajektori ringgit secara menyeluruh kekal positif berikutan langkah rangsangan China yang dapat meredakan kebimbangan pertumbuhan global dan meningkatkan sektor eksport Malaysia.

Susulan tekanan deflasi, kerajaan China bertindak mengumumkan pelan rangsangan dan membuktikan campur tangan paling ketara sejak pandemik yang menumpukan rancangan mengurangkan kos pinjaman dan menyuntik dana tambahan ke dalam ekonomi.

Namun, Innes turut mengingatkan bahawa pengumuman data penggajian bukan perladangan AS pada Jumaat akan memberi petunjuk penting terhadap hala tuju kenaikan kadar faedah Fed manakala pilihan raya presiden negara itu berkemungkinan membayangi mata wang Asia.

"Jika (Donald) Trump menang, kita mungkin menyaksikan kemungkinan tarif berat dikenakan ke atas China yang pastinya mencetuskan gelombang kejutan terhadap pasaran serantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia, susut berbanding yen Jepun untuk ditutup pada 2.8899/8936 berbanding 2.8804/8841 pada Jumaat.

Ringgit juga rendah berbanding euro pada 4.6106/6162 daripada 4.6009/6064 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5193/5260 daripada 5.5178/5245 minggu lepas.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit rendah kecuali bagi rupiah Indonesia yang menyaksikannya mengukuh kepada 272.1/272.6 daripada 272.5/273.0, minggu lepas.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2175/2217 daripada 3.2146/2187 pada akir urus niaga Jumaat, rendah berbanding baht Thailand pada 12.8037/8248 daripada 12.7202/7407 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.35/7.37.