KOTA KINABALU - Identiti lima mangsa yang rentung dalam kebakaran di kawasan setinggan Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, di sini, pada Isnin, sudah dikenal pasti.
Mangsa yang rentung melibatkan tiga beradik dikenali sebagai Raisa Wahid, 4, Raidah, 3, dan Raina berusia 12 bulan manakala dua lagi mangsa juga merupakan dua beradik dikenali sebagai Almidah Adrian, 14, dan adiknya, Siti Faridah, 3.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, kesemua mangsa berada di rumah yang sama termasuk dua anak jiran yang dijaga ibu mangsa.
"Ibu mangsa yang sarat mengandung dalam kejadian itu turut menjaga dua lagi kanak-kanak lain yang selamat dalam insiden ini.
"Bagaimanapun, lima lagi tidak sempat menyelamatkan diri termasuk tiga anaknya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya lagi, semasa kejadian, wanita tersebut dipercayai sedang sakit mahu bersalin.
"Bagaimanapun, belum sempat dia dihantar ke hospital, berlaku kebakaran tersebut.
"Wanita tersebut bersama dua lagi kanak-kanak yang selamat telahpun dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas.
"Dalam kejadian itu juga, kesemua mayat mangsa ditemui di tempat yang sama iaitu berhampiran tandas di rumah tersebut," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan lima dilaporkan rentung dalam kebakaran di kawasan setinggan tersebut.