BEIRUT - Lubnan bersedia melaksanakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melibatkan penempatan tentera Lubnan di selatan Sungai Litani, lapor Agensi Anadolu memetik Perdana Menteri sementara Najib Mikati pada Isnin.
"Kami mengesahkan persetujuan kami dan berjanji untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Israel segera,” kata Mikati selepas pertemuan dengan Speaker Parlimen Nabih Berri di Beirut.
Beliau berkata, Lubnan bersedia untuk menghantar tenteranya ke wilayah selatan dengan koordinasi misi pengaman PBB (UNIFIL).
Resolusi yang diterima pakai pada 11 Ogos 2006 itu menyeru pemberhentian sepenuhnya permusuhan antara Lubnan dan Israel serta penubuhan zon bebas tentera antara Garisan Biru (sempadan antara Lubnan dan Israel) dan Sungai Litani, dengan hanya tentera Lubnan dan UNIFIL yang dibenarkan memiliki senjata dan peralatan ketenteraan di kawasan berkenaan.
Menteri Luar Israel, Israel Katz pada Khamis lepas berkata, Tel Aviv hanya akan menerima gencatan senjata di Lubnan apabila Hizbullah ditolak jauh ke utara Sungai Litani dan dilucutkan senjata, menurut Anadolu.
Mikati berkata, perbincangan beliau dengan Berri turut menyentuh beberapa isu dalaman, termasuk situasi pelarian dan keperluan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk mereka.
Perdana Menteri Lubnan itu berkata, beliau akan bertemu dengan wakil negara penderma pada Selasa untuk memohon bantuan bagi Lubnan.
Pihak berkuasa Lubnan menganggarkan sekitar 118,800 orang telah berlindung di 780 pusat perlindungan di seluruh Lubnan akibat serangan Israel sejak beberapa hari lepas.
Mikati berkata, Lubnan akan menerima"semua sumbangan” daripada sumber antarabangsa, dengan memastikan ia akan diagihkan secara telus melalui PBB kepada mereka yang memerlukan.
Beliau turut menekankan kepentingan memilih presiden baharu bagi Lubnan melalui konsensus dalam kalangan semua pihak.
Mikati berkata, Berri meyakinkannya bahawa beliau akan memanggil sesi parlimen untuk memilih presiden secara konsensus sebaik sahaja gencatan senjata dengan Israel dicapai.
Lubnan telah tiada presiden hampir dua tahun sejak berakhirnya penggal Michel Aoun pada 2022. Parlimen yang berpecah setakat ini masih belum dapat memilih pemimpin baharu.
Sejak 23 September, Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap apa yang dipanggilnya sebagai sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan menyebabkan lebih 900 orang terbunuh dan lebih 2,700 yang lain cedera, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Beberapa komander Hizbullah terbunuh dalam serangan Israel itu, termasuk ketuanya Hassan Nasrallah.
Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel di Gaza, yang telah mengorbankan hampir 41,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober tahun lepas.
Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh mencetuskan konflik Gaza menjadi perang serantau yang lebih meluas. - Bernama