SHAH ALAM - Bekerja di sektor perladangan bukan satu perkara yang mudah kerana berdepan dengan risiko bahaya dan ‘bertemu’ haiwan buas mahupun berbisa.
Seorang pekerja ladang, Lester Rakilin, 37, berkongsi detik menggerunkan apabila dia terserempak dengan ular tedung sepanjang lebih tujuh kaki.
"Ketika itu (Sabtu) saya dan rakan-rakan dalam perjalanan mahu ke tempat kerja di Gua Musang, tiba-tiba ada seekor ular tedung menghalang laluan kami.
"Naik bulu roma saya kerana ular ini memang besar dan panjang. Lebih menggerunkan apabila ular itu melihat kami dalam tempoh masa lama seolah-olah mahu menelan kami,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tambah Lester, ular itu tidak berganjak walaupun rakan-rakannya membaling batu ke arah haiwan berbisa berkenaan.
Setelah beberapa kali cubaan menghalau ular tersebut, dia berkata, akhirnya haiwan itu berpatah balik ke semak hutan.
"Ini bukan pertama kali saya jumpa ular tetapi penemuan kali ini begitu menakutkan kerana ia besar dan panjang.
"Semenjak daripada kejadian itu, saya rasa diri diperhatikan. Ia membuatkan diri saya rasa tidak selamat kerana khuatir, ular itu tiba-tiba sahaja muncul,” ujarnya yang berasal dari Sabah.
Lester memuat naik video penemuan ular itu di laman sosial, TikTok dan meraih 2.8 juta tontonan dalam tempoh dua hari.