Ujian poligraf siasat kes rasuah

Iklan
Azam menunjukkan pelbagai barang rampasan hasil tindakan Op Pump melibatkan sindiket membawa masuk warga asing secara haram di KLIA.

PUTRAJAYA - Suspek melibatkan kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa bakal menjalani ujian poligraf bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, ketepatan ujian poligraf yang dijalankan itu boleh mencapai sehingga 97 peratus dan diyakini mampu menyelesaikan kes-kes yang kompleks melibatkan jenayah tersebut.

Iklan
Iklan

SPRM telah menubuhkan satu pasukan khas yang dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih termasuk menjalani latihan khusus bagi memperkembangkan teknik dan metodologi siasatan berikutan jenayah rasuah yang semakin kompleks di era digital dan globalisasi.

Setakat Mac lalu, seramai 16 pegawai SPRM telah berjaya menerima pentauliahan sebagai pemeriksa poligraf selepas mengikuti pelbagai modul latihan yang merangkumi pengujian jenayah dan proses saringan selama tiga bulan.

Seramai 16 pegawai SPRM telah berjaya menerima pentauliahan sebagai pemeriksa poligraf yang diadakan di Dewan Tuan Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur, Mac lalu.

Iklan

Mereka juga menjalani latihan berbentuk teori dan praktikal dikendalikan oleh lima orang tenaga pengajar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Latihan Poligraf Berakreditasi ini julung kali diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Poligraf Amerika (APA) sekali gus menandakan komitmen SPRM dalam memperkasakan integriti dan usaha-usaha membanteras gejala rasuah di Malaysia melalui sains poligraf.

Iklan

Selain itu, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur telah disaran menjadi hub program latihan tersebut.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penubuhan pasukan itu merupakan hasil kerjasama APA dengan pegawai SPRM diberi pendedahan dan latihan untuk memantapkan kemahiran serta pengendalian poligraf sekali gus memperkasakan keberhasilan siasatan.

"Penggunaan poligraf dalam siasatan adalah penting. Teknik ini boleh ketahui individu itu menipu atau sebaliknya berikutan hasil keputusan mencapai 97 peratus ketepatan,” katanya dalam temu bual eksklusif di Ibu Pejabat SPRM di sini baru-baru ini.

Azam (tiga dari kiri) menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Pertubuhan Poligraf Amerika (APA), Donald Krapohl di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Mac lalu, dalam usaha suruhanjaya itu menyasarkan lebih ramai pegawai mempunyai kemahiran mengendalikan poligraf dalam menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Azam berkata, corak jenayah rasuah pada masa kini dilihat semakin kompleks dan merentas sempadan di mana penjenayah memanipulasi teknologi termasuk menggunakan mata wang maya seperti bitcoin, etherium dan sebagainya bagi menyorok jejak kewangan.

"SPRM sentiasa peka terhadap aspek ini bagi memastikan pegawai satu langkah di depan mengenai perubahan corak jenayah rasuah,” katanya.

Menurutnya, SPRM telah mengembangkan teknik dan metodologi penyiasatan seperti Penyiasatan Berasaskan Perisikan (IBI).

"Bukan itu sahaja, kami juga menghantar pegawai meningkatkan kepakaran penggunaan teknologi dan ilmu penyiasatan menerusi kerjasama agensi dalam dan luar negara.

"Bahagian Forensik Teknologi SPRM juga dilatih secara berkala untuk melakukan forensik seperti menjejak kewangan serta transaksi pengubahan wang haram dan sejak tahun lalu, kita telah dilantik sebagai peneraju Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD),” ujarnya.

Tambahnya, KKFD dibentuk daripada agensi-agensi yang mempunyai makmal forensik digital seperti CyberSecurity Malaysia (CSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, ia berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran serta amalan terbaik dalam menjalankan siasatan digital.

SPRM menyita wang tunai RM3.7 juta melibatkan siasatan kes penyelewengan diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Menurut Azam, kerjasama strategik memerangi jenayah rasuah kewangan dilakukan menerusi penubuhan Pasukan Khas Siasatan Jenayah Kewangan oleh Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM.

"Pasukan ini turut disertai Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM), Akauntan Negara Malaysia (ANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) serta Universiti Multimedia Malaysia (MMU),” ujarnya.

KES SKALA BESAR

Dalam pada itu mengulas mengenai sektor penguatkuasaan dikatakan antara sektor paling terdedah dengan rasuah, Azam berkata, SPRM akan memfokuskan terhadap perkara terbabit selain perolehan isu rasuah berskala besar.

"Sepanjang 2024, SPRM telah melaksanakan empat operasi berskala besar iaitu Op Samba melibatkan kegiatan penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ketirisan lebih RM2 bilion sejak tiga tahun lalu dan 23 pegawai kastam telah dituduh.

"Op Transit pula membabitkan penyeludupan di Pelabuhan Klang yang menyebabkan ketirisan lebih RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu, manakala Op Pump membabitkan pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket bawa masuk warga asing di KLIA dan KLIA2.

"Selain itu, Op Liter yang dilaksanakan di Sibu, Sarawak membongkar ketirisan RM400 juta sejak 2012 akibat pencurian diesel bersubsidi yang diperuntukkan kepada nelayan,” ujarnya.

Ujarnya lagi, penguat kuasa merupakan barisan hadapan negara dan golongan itu sepatutnya bebas daripada rasuah.

SPRM menahan beberapa individu termasuk anggota penguat kuasa pada Ogos lalu untuk siasatan berkenaan 'counter setting' di pintu masuk negara.

"Kalau melibatkan penguat kuasa mengambil rasuah di checkpoint adalah amat malang kerana itu orang pertama yang dijumpai pelawat dan telah membawa persepsi tidak baik.

"Mereka yang terlibat dengan jenayah ini telah menikmati wang haram, kita perlu ambil duit itu kembali kerana itu duit rakyat. Jadi usaha ke arah itu sedang dibuat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, hampir RM30 bilion duit berada di pasaran gelap hasil kejayaan menumpaskan jenayah sindiket.

"Wang ini boleh dikembalikan kepada kerajaan sekiranya agensi-agensi penguat kuasa khususnya yang berada di barisan hadapan dapat menjalankan amanah dengan menguatkuasakan bidang tugas berdasarkan peruntukan undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

"Jika tidak, jenayah akan terus berlaku melalui aktiviti penyeludupan, dadah, judi dan maksiat yang akan memusnahkan negara dari segi budaya termasuk sahsiah rakyat,” katanya.

Malah, Azam memberitahu, bagi memperkasakan lagi tindakan operasi SPRM, Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) telah ditubuhkan.

Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) ditugaskan untuk operasi kritikal dan berbahaya.

"Pasukan dianggotai 20 pegawai dan lengkap bersenjata selain dilatih oleh VAT 69 Komando ini terlibat dalam operasi berisiko tinggi serta kritikal bagi melumpuhkan rangkaian sindiket,” katanya.

BONGKAR KES PROFIL TINGGI

Menurut Azam, selain sindiket, SPRM juga berjaya membongkar kes-kes berprofil tinggi yang menyebabkan ketirisan wang, kehilangan dana serta wang negara berbilion ringgit.

"Sebagai contoh, SPRM bertindak memulangkan berbilion wang negara menerusi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Sehingga kini SPRM memulihkan aset 1MDB berjumlah RM29 bilion atau hampir 70 peratus daripada wang diselewengkan dengan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

"Ia merupakan peratusan yang amat dibanggakan kerana purata pemulihan aset sedunia adalah kira-kira 30 peratus.

"Isu rasuah ini jika sudah sampai ‘kanser’ tahap empat, ia sudah jadi barah dan tidak berguna lagi ada agensi seperti kami (SPRM),” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mengurangkan kadar ketirisan negara, SPRM perlu membabitkan semua kaedah pendekatan seperti pengoperasian, pencegahan serta pendidikan masyarakat.

"Jika lima tahun lalu, boleh dikatakan SPRM mengambil perhatian terhadap semua kes termasuk sekecil-kecil kes yang dilaporkan.

"Namun kini SPRM memberi fokus mengurangkan ketirisan negara kepada aktiviti rasuah atau korupsi dalam sektor penguatkuasaan, perolehan dan grand corruption,” ujarnya.

Dalam sektor penguatkuasaan sebagai contoh, Azam berkata, terdapat golongan yang membiarkan cukai-cukai tidak dikutip atau membiarkan tindakan-tindakan sewajarnya tidak dilaksanakan.

"Terdapat juga golongan penguat kuasa yang membiarkan pelbagai aktiviti penyeludupan berlaku. Ini semua akan menyebabkan ketirisan besar kepada negara.

"Ketirisan terjadi apabila tidak ada tindakan diambil ke atas kesalahan yang berlaku, seterusnya menyebabkan negara mengalami kerugian dan berlaku penipuan dalam perolehan,” katanya.

BABIT PENJAWAT AWAM

Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu yang melibatkan penjawat awam bagi tempoh lima tahun bermula 2020.

Sepanjang tempoh itu katanya, sebanyak 30,483 maklumat diterima dan daripada jumlah itu, 17,892 maklumat atau 58 peratus adalah berkait penjawat awam.

Penjawat awam di Kuching antara yang direman untuk siasatan kes sindiket seleweng diesel yang beroperasi di Sibu, Sarawak. Foto kanan: Seorang penjawat awam tidak terlepas daripada siasatan apabila ditahan pada September lalu kerana salah guna jawatan untuk mendapatkan bekalan keperluan logistik milik syarikat suaminya.

"Kita telah buka 2,123 kertas siasatan dan seramai 2,046 individu ditahan dengan 1,036 pertuduhan serta 464 sabitan penjawat awam,” katanya.

Azam berkata, sebanyak 1,124 kes direkodkan melibatkan penerimaan rasuah, memberi rasuah (19 kes), kemuka tuntutan palsu (445), salah guna kuasa (320 kes), Kanun Keseksaan (153 kes) serta pengubahan wang haram (57 kes).

"Mengenai cuci duit ini, mereka akan letak di banyak tempat selain melibatkan proksi untuk beli aset,” ujarnya.

TIRIS RM277 BILION DALAM TEMPOH LIMA TAHUN

Ketirisan menjadi punca negara mengalami kerugian dan kehilangan sebanyak RM277 bilion sejak lima tahun lalu.

Justeru Azam berkata, kerugian akibat ketirisan dan rasuah dalam jumlah besar itu perlu diselamatkan oleh negara.

"Bagi mengatasi isu ketirisan dan rasuah, SPRM perlu mempunyai pegawai risikan terlatih serta berkemahiran.

"Malah kita perlu menggunakan perisian lebih canggih dan ia mesti dibantu dan disediakan oleh kerajaan.

"Penyiasatan perlu lebih berkesan dengan adanya pakar-pakar dalam bidang tertentu, perlu ada teknologi forensik serta pakar dalam bidang perakaunan.

"SPRM juga perlu ada pegawai yang boleh membuat analisa dalam satu-satu kes berprofil tinggi,” ujar beliau.

Menurutnya, dengan kerjasama LHDN, SPRM berjaya mengutip RM500 juta tahun ini untuk dikembalikan kepada kerajaan.

Antara rampasan barang susulan pembongkaran kes yang dilakukan SPRM pada Ogos lalu membabitkan sindiket membawa masuk warga asing di pintu masuk negara.

"Jadi ini satu pemangkin yang bagus jika lebih banyak kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang dan tindakan proaktif diambil, sudah tentu lebih banyak ketirisan hasil daripada kegiatan jenayah dapat dikembalikan kepada negara.

"Ia sedikit sebanyak boleh membantu kos operasi pihak berkuasa dalam negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Azam berkata, SPRM perlu berubah dari masa ke masa bagi mencapai tahap lebih baik.

""Perubahan perlu dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk pendekatan penyiasatan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sangat penting kerana ia menjadi tulang belakang kepada kejayaan SPRM.

"Sekiranya saya nak bandingkan pada masa sekarang dan lima tahun lepas, banyak perubahan yang telah kita lakukan dalam aspek pendekatan penyiasatan.

"Selepas berakhirnya Covid-19, kita nampak pelbagai kesan kepada masalah ekonomi sehingga menyebabkan kita semua merasai kesannya.

"Jadi SPRM perlu membuat satu pendekatan dan menyusun strategi yang berbeza dari dahulu kerana kita perlu membantu negara meningkatkan ekonomi dan pastinya menurunkan kadar rasuah,” ujarnya.

Azam berkata, sehingga kini, SPRM berjaya mencapai banyak kejayaan dalam usaha menambah baik dan melakukan reformasi dalam suruhanjaya tersebut.

Jelas beliau, antara kejayaan itu adalah kaedah penyiasatan, peningkatan kadar pendakwaan, perubahan dasar integriti serta tatakelola dan peningkatan kesedaran awam dalam hal-hal isu rasuah.

"Isu-isu rasuah ialah perkara yang perlu sentiasa dipantau dan ditangani sebelum ia menjadi budaya atau kanser kepada masyarakat.

"Masyarakat akan menjadi huru-hara dengan pemikiran yang korup.

"Apabila ini terjadi, semua akan mendapat bencana apabila rasuah menguasai isu-isu sosial, ekonomi dan masyarakat,” ujarnya.

INFO

1) SPRM ditubuhkan pada 1 Oktober 1967 dengan nama Badan Pencegahan Rasuah (BPR)

2) Pada 2008, Parlimen bersetuju supaya SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR

3) SPRM diperkuatkuasakan dengan Akta SPRM 2009

4) Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2024 bersetuju penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

- Pasukan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara dan wakil 9 kementerian dan agensi serta 5 pakar.

5) Bagi meningkatkan CPI Malaysia ke 25 teratas dalam 10 tahun, kerajaan telah melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2029.

6) Langkah SPRM kekal relevan:

- Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk pendidikan antirasuah dan Program Wira Antirasuah

- SPRM dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) anjur Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) serta Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dijadikan sebagai modul wajib.

- Pendekatan baharu di media sosial

- Inisiatif pengecualian cukai untuk syarikat anjur program antirasuah.