'Tabiat menabung lemah, termakan hasutan duit tidak boleh bawa mati'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM - Tidak pandai menguruskan wang dengan bijak, berbelanja melebihi pendapatan dan kurang ilmu literasi kewangan serta pengurusan hutang membuatkan segelintir rakyat terus bergantung pada gaji bulanan sehinggakan tiada inisiatif untuk mencari wang tambahan.

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, gaya hidup berlebihan juga menjadi faktor penyumbang kerana masing-masing gian mempamerkan kehidupan mewah dan bersaing sesama sendiri khususnya di media sosial sedangkan sama-sama tersepit dengan peningkatan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

Selain itu menurutnya, rakyat atau golongan bekerja berdepan komitmen dan hutang terlalu tinggi disebabkan kad kredit serta pembiayaan peribadi kerana proses permohonan pinjaman amat mudah lulus hanya menggunakan slip gaji.

"Kalau dilihat peningkatan trend penggunaan kad kredit, biaya kenderaan atau pinjaman peribadi menerusi data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), memang kita bertahan hanya guna slip gaji.

Iklan

"Walaupun kos sara hidup semakin meningkat, Malaysia masih dalam tahap terkawal cuma masyarakatnya yang gagal mengawal faktor-faktor tersebut.

"Akhir sekali tabiat menabung yang lemah kerana mudah termakan kata-kata hasutan dan beri alasan duit bukan boleh bawa ke mati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, 53 peratus rakyat Malaysia dilaporkan terlalu bergantung sepenuhnya pada gaji malah ada antaranya berbelanja melebihi pendapatan bulanan.

Dapatan tersebut diperoleh daripada Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2024 melibatkan 3,390 responden di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Siew Yuen Tuck berkata, 38 peratus daripadanya turut menyatakan bahawa mereka mampu bertahan kurang dari tiga bulan sahaja sekiranya kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, 18 peratus lagi mampu mengekalkan gaya hidup masing-masing dengan selesa selama lebih dari enam bulan.

Ditanya tip perancangan kewangan yang bijak, Azizul Azli mencadangkan rakyat perlu membiasakan diri dengan menyediakan dana kecemasan sebaik menerima gaji pertama kerana ia antara langkah penting dalam mengawal literasi kewangan.

Tambah beliau, amalan berbelanja secara berhemah juga wajib diterapkan dalam diri contohnya catat jumlah perbelanjaan setiap bulan dan mementingkan keperluan berbanding kehendak.

"Tingkatkan pemahaman mengenai literasi kewangan. Apabila diri lemah bab pengurusan duit, pelajari ilmu menabung kerana ia juga berkait nafsu dan emosi, kalau tak kawal kita takkan boleh menabung.

"Usahakan cari dan telaah buku, lihat bagaimana strategi menabung yang berkesan. Belajar kurangkan berhutang dan sasarkan pada umur berapa semuanya mampu diselesaikan,” ujarnya lagi.