Jangan cerita semuanya
ADA peribahasa Melayu, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’. Begitulah orang tua kita cuba mengajar kita berhati-hati dalam banyak perkara yang kita lakukan. Kisah hidup kita jangan banyak sangat dibuka kepada orang lain.
Tapi dalam dunia hari sepertinya tak banyak sangat rahsia yang boleh disembunyikan. Terbaharu, pemimpin nombor satu Hizbullah, Hassan Nasrallah telah dibom mati oleh tentera Israel.
Sebagai pemimpin berpengaruh, tentulah gerak-gerinya juga tak mudah dikesan musuh. Tapi itu pun, sepertinya tidak banyak rahsia yang boleh disembunyikan juga.
Bangunan tempat beliau bersembunyi dihancurkan dengan serangan udara. Beliau pergi bersamanya. Ia berlaku setelah kira-kira dua minggu sebelum itu, ribuan alat kelui atau pager meletup serentak di seluruh Lubnan dan Syria.
Puluhan terbunuh, dan ratusan yang cedera. Bagaimana cara alat kelui itu diaktifkan sebagai bom tidaklah diketahui. Tetapi apa yang pasti, pager ini ialah alat komunikasi yang boleh kita katakan sebagai antara yang ketinggalan zaman.
Ia popular awal 90-an sebelum kita mengenal telefon bimbit seperti sekarang. Fungsinya tentulah tidak banyak. Ia sekadar pesanan teks.
Tapi itu pun, gerak-geri kita diperhatikan juga. Bayangkan jika pemimpin kanan pejuang yang digeruni, yang pastilah keselamatan mereka dikawal ketat, apalah sangat orang awam seperti kita.