DALAM dunia serba moden ini, hutang sering kali menjadi satu keperluan bagi ramai individu.
Sama ada untuk membeli rumah, kereta atau menyambung pengajian, hutang boleh dianggap sebagai penyelamat yang memudahkan kehidupan.
Namun, apabila hutang tidak diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada pelbagai masalah serius termasuk tekanan mental dan emosional yang akhirnya boleh mencetuskan situasi tragis seperti kes bunuh.
Seperti yang berlaku di Sabak Bernam, Selangor pada Isnin lalu, mayat seorang pengawal keselamatan ditemukan dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, dipercayai dibunuh kerana masalah peribadi dan hutang.
Mangsa lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu dijumpai polis dalam Proton Saga BLM yang diparkir di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Robin Guha Thakurta berkata, motif kejadian itu diperoleh menerusi hasil siasatan pihaknya ke atas seorang lelaki yang juga rakan sekerja mangsa.
Melihat kepada kes yang tragis, tekanan akibat hutang telah membawa kepada tindakan ekstrem.
Ini mencerminkan betapa seriusnya kesan hutang terhadap mental dan emosi seseorang.
Hutang boleh menjadi alat yang berguna jika diurus dengan bijak tetapi ia juga boleh membawa kepada kesan yang tragis jika dibiarkan tanpa kawalan.
Oleh itu adalah penting untuk kita semua lebih peka terhadap pengurusan kewangan dan memberi perhatian kepada kesihatan mental.
Jika diri atau seseorang yang dikenali sedang bergelut dengan masalah hutang, jangan ragu-ragu untuk mencari bantuan.
Kesedaran dan tindakan awal boleh membuat perbezaan yang besar.