Agensi KESUMA adaptasi AI mudahkan proses kelulusan, tuntutan

Iklan
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bersama timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tiga dari kiri) merasmikan NHCCE 2024 yang diadakan di MITEC pada Isnin. 

KUALA LUMPUR - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam proses permohonan geran yang secara drastik mengurangkan masa kelulusan kepada kurang sehari.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, agensi tersebut mengadaptasi teknologi terkini berkenaan sebagai komponen utama dalam proses tersebut bermula dari imbasan, pembacaan dan menganalisis dokumen.

Iklan
Iklan

Langkah itu menurutnya bagi memastikan pematuhan hingga penghasilan 'output' untuk mempercepatkan pembuatan keputusan.

"Penggunaan AI telah berjaya mengurangkan proses kelulusan geran selama tujuh hari kepada kurang daripada sehari," katanya ketika berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Modal Insan Kebangsaan 2024 (NHCCE 2024), pada Isnin.

Iklan

Persidangan anjuran HRD Corp itu berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama tiga hari sehingga 2 Oktober depan.

Steven Sim melawat reruai pameran pada NHCCE 2024 yang diadakan di MITEC pada Isnin.


NHCCE 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Persidangan dan Pameran HRDF menjadi platform perbincangan penyelesaian isu berkaitan cabaran di tempat kerja dengan membawa tema 'Menginsankan AI untuk tenaga kerja masa depan.'

Iklan

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga sedang menggunakan teknologi berkenaan dalam projek rintis untuk mengurangkan masa mengeluarkan surat jaminan (GL) kepada pencarum yang memerlukan rawatan di hospital supaya boleh menerima rawatan perubatan percuma.

Steven berkata, kebiasaannya agensi tersebut memerlukan masa sehingga tiga hari untuk mengeluarkan surat berkenaan, namun dengan menggunakan AI, proses tersebut boleh dikurangkan kepada satu jam.

Badan pemikir Talent Corp

Dalam pada itu Steven menjelaskan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menubuhkan sebuah badan pemikir pada Mac menerusi Talent Corp yang berperanan menyediakan laporan impak kesan AI, digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap pasaran pekerjaan di Malaysia.

Beliau berkata, laporan berkaitan 10 sektor ekonomi strategik telah dibentangkan antaranya teknologi maklumat dan komunikasi; perkhidmatan dan pembuatan makanan; pembuatan farmaseutikal; aeroangkasa serta elektrik dan elektronik.

Steven Sim (depan, tengah) bersama tetamu dan peserta yang hadir pada NHCCE 2024.


Selain itu turut disediakan laporan perdagangan borong dan runcit; bahan kimia; peralatan perubatan; tenaga dan kuasa serta perkhidmatan perniagaan global.

"Kesemua 10 sektor ini merangkumi kira-kira 4.5 juta pekerjaan yang mewakili kira-kira 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini.

"Laporan ini akan memberitahu perkara yang akan berlaku kepada pekerjaan dalam sektor-sektor terlibat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," jelasnya.

Selain itu menurutnya, golongan pelajar turut mendapat manfaat dengan membuat jangkaan awal mengenai pasaran pekerjaan agar boleh mempersiapkan diri sewajarnya.

"Peta masa depan pekerjaan seperti ini akan memberi gambaran tentang situasi akan datang supaya dapat merangka strategik lebih baik untuk menangani masa depan.

"Oleh itu bagi KESUMA, penting untuk mempersiapkan modal insan dalam memenuhi era AI dan Malaysia juga berhasrat untuk menjadi hab modal insan AI di rantau ini," ujarnya.

Perkongsian penceramah

Sementara itu wartawan terkemuka, Mehdi Reza Hasan mengakui teknologi AI kini sedang menguasai terutama industri media dengan mencipta kandungan seperti teks, imej, video dan sebagainya.

MEHDI REZA


Beliau yang hadir sebagai penceramah di pentas NHCCE 2024 berkata, teknologi tersebut menggunakan model bahasa besar (LLM) yang membolehkan ia memberi respons jelas dan dipercayai terhadap soalan, pertanyaan atau arahan manusia.

"Perkara tersebut akan dibincangkan di pentas ini yang turut melibatkan dominasi perbualan.

"Tidak dapat dinafikan alat generatif AI seperti ChatGPT dan imej yang dijana oleh DALL·E berpotensi untuk mengubah cara kerja, pekerjaan dan nilai modal insan.

"Namun kewartawanan dan wartawan sentiasa menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, berkembang dalam cara penggunakannya untuk menjalankan tugas termasuk mencipta pekerjaan baharu," katanya ketika menyampaikan ucaptama di pentas NHCCE 2024.

Dalam pada itu beliau yang merupakan wartawan terkemuka berpandangan, masa depan bidang kewartawanan terletak pada kerjasama manusia dan teknologi AI.

Mehdi menegaskan, teknologi berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai cara untuk menggantikan modal insan tetapi melengkap serta meningkatkan keupayaannya.

"Kecerdasan buatan sedang mengubah dunia tetapi masa depan kewartawanan tidak didorong oleh teknologi tetapi kerjasama bersama manusia.

"Oleh itu saya melihat masa depan kewartawanan tidak didorong oleh mesin (teknologi) tetapi didorong oleh manusia, disokong oleh mesin.

"Tidak dinafikan terdapat banyak bahaya, perangkap dan risiko jika tersilap langkah, namun jika mampu menguasainya, AI boleh menjadikan kewartawanan lebih pintar, pantas dan lebih responsif terhadap keperluan masyarakat," ujarnya.