Anuar Hamzah dilantik Ketua Pegawai Eksekutif PWS

Iklan
Anuar Hamzah

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa pada Selasa.

Pelantikan Anuar Hamzah itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Jawatan itu sebelum ini disandang Datuk Mohammad Yacob dari tahun 2017 hingga 2022 dan kemudiannya dipangku Anuar Hamzah.

Anuar Hamzah antara pegawai terawal ketika era penubuhan PWS dan dilantik menjawat jawatan sebagai Pengurus Bahagian Pemasaran dan Dakwah bermula tahun 2011 sehingga 2014.

Iklan

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bermula tahun 2014 sehingga 2024.

Hubungan baik beliau bersama agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri Selangor memberi nilai tambah bagi menjalin hubungan sinergi dua hala dalam memastikan institusi wakaf di Selangor terus diperkasa.

Iklan

Anuar Hamzah memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah Unit Ukhwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 1997 kemudian menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun 2004 hingga 2010.

Beliau juga pernah juga menjawat jawatan sebagai Pendaftar Mualaf Negeri Selangor pada tahun 2006.

Antara lain jawatan yang pernah disandang adalah Penolong Setiausaha Bahagian Pemulihan Ar Riqab MAIS dan Penolong Setiausaha Bahagian MAL MAIS pada tahun 2010.

Dengan keupayaan dan kepakaran hampir 27 tahun berkhidmat dalam institusi hal ehwal Islam di negeri ini, Anuar Hamzah menjadi sandaran utama dalam memacu kejayaan PWS selari dengan misinya ‘Memartabatkan institusi wakaf yang unggul berpaksikan al-Quran, al-Hadis dan hukum syarak.