Kedutaan Malaysia di Washington anjur pameran songket

Iklan
Songket akan menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Malaysia di Kedutaan Malaysia di Washington, DC pada 11 hingga 25 Oktober ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Songket akan menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Malaysia di Kedutaan Malaysia di Washington, DC.

Program yang akan diadakan pada 11 hingga 25 Oktober ini bakal mempromosikan keindahan songket tenunan kepada dunia.

Iklan
Iklan

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau secara khusus memilih untuk mempromosikan songket bagi menandakan Hari Malaysia ke-61 agar tetamu berpeluang menghargai kesenian kraftangan mewah.

Menurutnya, inisiatif ini diilhamkan oleh pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap songket Malaysia.

Iklan

"Pada tahun 2021, UNESCO memasukkan songket dalam Senarai Warisan Kemanusiaan Budaya Tak Ketara untuk dijaga.

"Selain menghormati warisan kita, saya juga ingin mempromosikan pertukaran budaya dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohamed Nazri turut mengalu-alukan kedatangan orang ramai pada pameran berkenaan bagi mengenali tekstil tradisional Malaysia dengan lebih dekat.

Sambutan dua minggu itu akan dimulakan dengan Pertunjukan Fesyen Benang Emas Songket yang dan pelancaran rasmi Pameran Hari Songket Malaysia pada 10 Oktober yang bakal disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra.

Pertunjukan fesyen itu akan menampilkan hasil ciptaan pereka terkenal Malaysia Sharifah Kirana dan pereka muda yang sedang muncul Zachrin Jaafars.

Tekstil songket dari Muzium Tekstil Negara Malaysia juga akan dipamerkan dengan kehadiran Adiguru, Kelthom Hussein dan pemilik Che Minah Songket yang akan memperagakan seni tenunan songket.