KUNAK - Pekerja ladang yang dilapor hilang selepas disambar buaya ditemui meninggal dunia akibat dibaham haiwan tersebut di kawasan paya bakau berhampiran sebuah ladang di sini pada Selasa.
Mayat Ridwan Nawir, 50-an, ditemui pada jam 9.41 pagi dalam keadaan mengerikan tanpa kaki sebelah kiri dan badan serta kepala hanya tinggal separuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohammad Omarbatha berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 7.10 pagi.
"Operasi dilakukan dengan kaedah pencarian dipermukaan atas air oleh pasukan bomba. Mayat mangsa sebelum itu telah dilihat di mulut buaya namun sukar untuk mendapatkannya.
"Mangsa ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa disambar buaya dan dalam keadaan tidak sempurna iaitu tanpa kaki kiri dan kepala serta badan hanya tinggal separuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.48 pagi.
Sebelum itu, mangsa dikatakan keluar memukat ikan di kawasan tersebut namun telah disambar buaya yang disaksikan rakannya sendiri.