Operasi pencarian jasad Sabari diteruskan hari kedua

Iklan
Operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu disertai Pasukan Polis Marin, PDRM, JBPM serta APM.

KUBANG PASU - Operasi pencarian jasad pesara Felcra Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di sini diteruskan pada hari kedua pada Selasa.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu disertai Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Iklan
Iklan

Difahamkan radius pencarian diperluaskan kepada 12.8 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Kampung Empa, Derang di sini, lokasi mangsa dipercayai dicampak.

Satu lagi sektor pencarian adalah melibatkan kawasan Loji Rawatan Air Pelubang ke Tandop Chegar melibatkan radius kira-kira tujuh kilometer.

Iklan

Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari, tiada sebarang petunjuk diperoleh di lokasi pencarian ketika ini.

Pada Isnin, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mengesahkan mangsa dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat

Iklan

Beliau berkata, operasi pencarian tersebut dijalankan susulan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lepas.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit mangsa dimatikan selain terdapat transaksi pemindahan wang dari akaun bank milik Sabari.