SEOUL - Malaysia dan Korea Selatan berhasrat untuk menambah baik inti pati Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang telah ditandatangani pada 2019, menjelang November ini.
Perkara berkenaan dibangkitkan dalam pertemuan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dengan Menteri Sains dan ICT Republik Korea (MSIT) Yoo Sang-im yang berlangsung sempena persidangan GSMA M360 APAC 2024 di sini pada Selasa.
Fahmi berkata, aspek penambahbaikan dicadangkan termasuk melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin meluas digunakan dalam pelbagai bidang, sejajar dengan perkembangan era digital.
"Banyak dalam perbincangan saya dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di sini memberi fokus bukan sekadar kepada infrastruktur 5G, tetapi juga AI-powered 5G, dan memanfaatkan Internet yang laju untuk aplikasi AI.
MoU yang ditandatangani pada 2019 menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan MSIT di Korea Selatan itu memberi manfaat kepada kedua-dua negara bagi jangka panjang dan meningkatkan pelaburan, serta memberi peluang yang luas untuk pertukaran teknologi tinggi antara kedua-dua negara.
Terdahulu, Fahmi dan Yoo mengadakan pertemuan hampir 30 minit dan membincangkan pelbagai isu seperti kesalinghubungan, pelaksanaan 5G Advanced, keselamatan siber, perfileman dan media sosial.
Ini merupakan pertemuan pertama Fahmi dengan Yoo yang baru dilantik sebagai menteri pada Julai lepas.
Fahmi kini dalam lawatan kerja ke Korea Selatan selama tiga hari bermula semalam.
Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan GSMA M360 APAC 2024 menerusi sesi Building the AI-Enabled Digital Backbone.
GSMA ialah sebuah organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia dalam ekosistem mudah alih dan industri berkaitan. - Bernama